MENJADI hak mutlak rakyat untuk mengibar bendera negara mereka, malah sesiapa sahaja boleh mengibar bendera mana-mana negara asalkan diikuti panduan berkenaannya.
Sehubungan ini, ia yang dikaitkan dengan patriotisme ditegah daripada diperlaku dalam bentuk tertentu, apatah lagi dengan sewenang-wenangnya. Antaranya mengenakannya sebagai pakaian serta perhiasan dan lain-lain.
Mengikut panduan umum mengenai bendera tanpa mengira apa-apa yang diwakilinya lebih-lebih lagi bendera negara, ia tidak boleh sesekali dijadikan pakaian dalam sebarang corak sama ada di kepala sebagai topi dan hijab, badan selaku baju dan seluar serta kaki dalam bentuk sarung kaki dan kasut. Selain dalam bentuk yang sederhana besar itu, ia juga dilarang biarpun dalam bentuk cebisan kecil sahaja, dijahitkan pada pakaian sukan termasuklah yang digunakan untuk atlet negara dalam temasya antarabangsa.
Ini kerana bendera tanpa mengira representasinya, lebih-lebih lagi negara dan negeri adalah bukan sahaja lambang kedaulatan, ia bersifat mulia kalau tidak pun kudus. Oleh itu, ia tidak boleh sesekali diperlaku dalam apa-apa jua bentuk yang boleh dianggap sebagai tidak menghormatinya, lantas menghinanya.
Untuk ini, menjadikan bendera sarung bantal, kain cadar atau selimut meskipun sudah lusuh apatah lagi sengaja dibuat begitu daripada yang baharu adalah perbuatan yang tidak patut. Ini kerana sifat mulianya tidak membenarkannya digunakan bagi apa-apa jua tujuan lain kecuali dikibarkan sahaja. Begitu juga apabila dijadikannya langsir atau kain penutup ruang kosong waima di jabatan kerajaan sekalipun untuk menimbulkan kesan perhiasan yang patriotik sifatnya pada Bulan Kebangsaan.
Perkara sama adalah juga untuk perbuatan menghiasi kenderaan dengan pelbagai cara biarpun sebagai tanda cintakan negara. Antaranya dengan menutup bahagian tertentu misalnya bonet enjin, bumbung dan but barang pada kereta serta membalut hadapan, tepi dan belakang bas dengan bendera.
Dalam semua ini serta lain-lain yang didapati dilakukan dengan penuh kekreatifan dan inovasi, sesungguhnya rakyat mahu meluahkan perasaan patriotisme mereka bukan sahaja terhadap negara tercinta, juga kepadanya sebagai tanah tumpah darah mereka. Oleh ini, ia sangat difahami asalkan bendera sebenar tidak sesekali digunakan.
Dalam hal ini, mereka boleh antaranya menggunakan apa-apa paparan pada bendera itu sama ada dari segi warna atau lambang yang terdapat padanya. Untuk Jalur Gemilang, kesemua warna merah, putih, biru dan kuning boleh digunakan sekali gus ataupun sebahagiannya sahaja untuk tujuan ini. Begitu juga dengan paparan anak bintang bersekali dengan bintang berbucu 14 itu. Ini dibenarkan sebab ia wujud sebagai replika sahaja yang direka bentuk mengikut daya kreativiti dan akal inovasi masing-masing sebagai representasi bendera negara.
Sebaliknya ia tidak boleh sesekali berupa bendera sebenar yang diperlaku antaranya dengan memotong-motong untuk disambung-sambung dan sebagainya bagi menghasilkan sesuatu gubahan sebagai pakaian dan pameran di kenderaan.
KAIN
Ini kerana bendera ialah bendera, yakni lambang penting yang mewakili sesuatu entiti itu sama ada politik, sosial atau budaya. Justeru, ia tidak harus diperlaku dengan sesuka hati walaupun niatnya murni sekali, iaitu untuk memperlihat rasa cinta tidak berbelah bahagi kepada negara. Sebaliknya, ia hendaklah dihormati dengan penuh takzim pada setiap masa.
Oleh itu, ada keperluan diwujudkan panduan agar ia dapat dihormati dalam keadaan paling terhormat yang sepatutnya diberikan kepada lambang negara. Ini kerana bendera negara hendaklah diberikan penghormatan yang sama darjatnya seperti kita menyanjungi negara itu sendiri. Dengan kata lain, bendera negara disamakan dengan negara yang diwakilinya.
Walaupun ia sehelai kain, ia hendaklah dijunjung tinggi untuk apa-apa sahaja yang diwakilinya, misalnya negara secara amnya dan sebarang paparan padanya seperti anak bulan pada Jalur Gemilang itu.
Secara umumnya belum terdapat apa-apa jua perundangan khusus lagi ketat di mana-mana pun tentang kod amalan untuk menyekat pengendalian bendera negara yang tidak betul, antaranya dijadikan pakaian. Oleh itu, ia belum berupa kesalahan berat yang boleh dikenakan tindakan keras.
Walaupun begitu, harus disedari untuk diinsafi bahawa bendera waima negara, negeri atau organisasi sekali pun ialah lambang kedaulatan dan kewibawaan yang bukan sahaja harus dilindungi pada setiap masa oleh kerajaan dan badan tertentu, juga dipastikan selalu utuh oleh rakyat negara berkenaan dan ahli badan itu kecuali dalam keadaan kecemasan.
Sehubungan ini, Jalur Gemilang tidak harus digunakan dalam apa-apa jua cara lain selain hanya dikibarkan, itu pun pada tempat yang betul antaranya pada tiangnya dan bukannya pokok.
Dalam hal ini, ia juga harus dikibarkan secara betul semasa digantung ataupun dipegang.
Pun begitu, atas semangat patriotisme tinggi yang diperlihat rakyat melalui pelbagai ciptaan yang sesetengahnya amat memberangsangkan, ia dibiarkan sahaja untuk terus berlaku asalkan diikuti amalan sopan dan berdasarkan budi bicara yang sesekali tidak menghina bendera negara.
Sehubungan ini, pastikannya jangan sesekali seperti gelagat biadap sekumpulan warga asing lelaki yang memakai seluar dalam yang mempamerkan Jalur Gemilang semasa menonton perlumbaan dunia Formula Satu (F1) di negara ini pada Oktober 2016. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










