Bertuah saya kerana dapat turut serta dalam acara perasmian Anugerah Biasiswa Nippon Designers School Malaysia College (NDS) – Persatuan Alumni Jepun Malaysia (JAGAM) sempena Hari Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur dan ulang tahun ke-65 hubungan Malaysia dan Jepun beberapa hari lepas.
Saya tak pernah dengar lagi institut pengajian seperti ini namun saya berani katakan ia membuka sebuah lembaran baharu terhadap industri komik tanah air terutamanya Manga.
Nur Afini Kamarulaznan, 24, salah seorang pelajar di kolej berkata, minatnya dalam anime tercetus sejak diperkenalkan dengan komik-komik Jepun.
“Saya teruja dan kagum dengan hasil karya pelukis komik tempatan dan luar negara yang mampu menghasilkan ilustrasi yang kompleks, unik dan kreatif,” katanya. Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Gadis asal Shah Alam ini, antara lapan pelajar bertuah kerana terpilih mendapat biasiswa penuh di Nippon Designers School Malaysia College, Selangor.
Ia ditubuhkan pada 1965 sebagai sebuah kolej reka bentuk Jepun yang menawarkan kursus reka bentuk grafik, reka bentuk visual, ilustrasi, manga, fotografi dan sebagainya.
Dengan beberapa cawangan terletak di Tokyo dan Fukuoka, NDS terus mendidik pelajarnya selama lebih 50 tahun. Kini NDS membuka cawangannya di Malaysia serta menawarkan kursus Diploma Ilustrasi
Manga pertama di mana para pelajar boleh mempelajari ilustrasi digital praktikal dan penghasilan manga berdasarkan teknik digital.
Graduan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Grafik, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Iskandar ini mengatakan langkah kanan beliau ke NDS bermula apabila ibu dan kakaknya memaklumkan berkenaan pemberian tawaran biasiswa di kolej itu. Peluang terhidang terus diambil Nur Afini serta merta.
KONGSI KARYA
“Alhamdulillah dengan izin Allah saya diterima sebagai salah seorang yang terpilih untuk mendapatkan biasiswa itu. Impian saya ialah ingin menjadi seorang pelukis komik yang profesional.
“Saya ingin kongsikan cerita hasil tangan saya dengan pembaca. Genre cerita yang saya nak reka sudah tentu bersifat romantik dan fantasi urban,” ujarnya yang bakal menamatkan pekerjaannya sebagai pembantu kedai pada akhir bulan ini bagi menumpukan perhatian sepenuhnya dalam pembelajarannya di NDS.
Nur Afini mengimpikan untuk menjadi pelukis komik profesional. Menurutnya, antara anime yang banyak memberinya sumber inspirasi adalah Digimon, Pokemon, Cardcaptor Sakura, Alice Academy, Whisper of the Heart (filem) dan komik yang diterbitkan Gempak Starz.
“Antara perbezaan anime dan lukisan biasa adalah dari gaya lukisan yang sudah di-simplifikasikan dan bukan sebuah lukisan yang terlalu realistik,” katanya.
Beliau yang turut mengambil upah melukis secara sambilan memberitahu, bayaran dikenakan adalah mengikut warna. Lagi banyak warna, lagi tinggi bayarannya.
Nur Afini turut menzahirkan keterujaan dan kegembiraan kerana majlis penyerahan sijil biasiswanya itu turut disertai Timbalan Menteri Perpaduan Negara lantaran beliau melihat bahawa perkara itu merupakan peluang keemasan untuknya membawa dunia anime lebih di kenali di negara ini.
Sementara itu Wan Ahmad Fayhsal berharap lebih ramai pelukis berbakat tanah air diberi peluang memperkasakan kerja-kerja mereka selain diberi peluang menghasilkan karya anime dan manga dengan citarasa tempatan.
“Mungkin suatu hari nanti kita dapat tengok manga versi silat atau hero-hero atlet sukan negara seperti Datuk Lee Chong Wei dan sebagainya,” katanya.










