Parti-parti Melayu untungkan siapa?

Parti-parti Melayu untungkan siapa?

pru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAJUK kolum kali ini memang klise. Tapi mahu tidak mahu perlu diperingatkan senantiasa. Sebab pemimpin politik Melayu dikatakan memang kerap ‘cepat lupa’.

Malam ini Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan memutuskan sama ada terima atau ditolak penyertaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) ke dalam Barisan Nasional (BN).

Mereka ahli parlimen daripada PBM kalau ikut pengamatan orang politik tegar, sama juga spesiesnya dengan pelompat parti yang lain. Keinginan bergabung barangkali suatu muslihat politik bagi mereka yang ‘takutkan bayang-bayang sendiri’. Mereka hanya memandang kepada kepentingan haluan politik peribadi, bukan kepada kebaikan perjuangan bangsa. Benarkah?

Tentunya ini pendirian tersesat dalam perjuangan, seolah-olah tiada langsung menerima prinsip ‘rujuk’ dalam Islam. ‘Ketakutan’ mereka hanya terhadap kemungkinan hilang tempat atau pangkat dalam parti, bukan terhadap kemungkinan bangsa akan jadi lemah jika berbalah dan berpecah.

Adakah BN punyai pilihan malam ini? Diterima PBM serba tak kena dibuatnya, ditolak rugilah pula? BN, dengan keanggotaan yang dulu sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lebih dari 10 parti, tak silap 13 atau 14 parti. Tetapi sebaik sahaja tumbang, BN cuma berbaki empat anggota. UMNO, tonggaknya; MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Dengan hari ini yang diuar-uarkan politik itu dinamik – diberi maksud: ikut lanskap politik negara ini tidak kekal dan boleh berubah mengikut kehendak parti masing-masing – maka tentunya hasrat PBM itu bak ‘kecil tapak tangan nyiru hamba tadahkan’. Kalau ikut kata Ir. Soekarno, “politik bukanlah perebutan kekuasaan bagi partainya (parti) masing-masing, bukan persaingan untuk menonjolkan ideologinya sendiri-sendiri tetapi politik untuk menyelamatkan dan menyelesaikan revolusi Indonesia.”

BERPECAH, KELIRU

Jika begitu halnya, tentunya berjuang secara berasingan, apa lagi dalam gelanggang mega seperti PRU15, akan sia-sia sahaja lantaran orang Melayu terutamanya, akan berpecah dan keliru. Ini terutama atas persoalan: kenapa mesti ada sampai sekurang-kurangnya 10 parti politik Melayu untuk memperjuangkan kepentingan bangsa. Sedangkan semua yang memimpin PBM, PKR, Parti Pejuang Tanah Air, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) semuanya adalah orang Melayu belaka. Itu belum lagi masuk UMNO, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa lagi parti baharu yang semua penerajunya Melayu.

Malangnya, pergelutan politik antara reputasi dan perjuangan Melayu di dalam diri tidak semudah yang dilihat orang dari luar. Benar kata orang – sekali ahli politik terus jadi orang politik. Dari pandangan politiknya, orang Melayu apabila berhadapan dengan perjuangan, kadangkala tidak begitu hirau sangat tentang soal kepartian. Mereka lebih terpengaruh dengan kepimpinan sebenarnya.

Cuma dalam politik Malaysia, penyakit tenat dan berat ialah gara-gara para pemimpin sendiri bercucuk radak mengatasi pemimpin lain. Sebahagian besar masa dihabiskan dengan gara-gara buruk ini sehingga bidalan ‘ikan mula busuk di kepala, bukan di ekornya’ lumrah dipadankan dengan kekacauan yang dicetuskan oleh pemimpin. Kadangkala mereka tak sepatutnya bersengketa kerana kebolehan serta tahap pencapaian masing-masing tidak mengharuskan mereka berlumba-lumba.

 

PERGELUTAN politik antara reputasi dan perjuangan Melayu di dalam diri tidak semudah yang dilihat orang dari luar. Kata orang, sekali ahli politik terus jadi orang politik. Gambar kiri, Presiden Pas, Allahyarham Tan Sri Mohd. Asri Muda (empat, kanan) bermesyuarat dengan para pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika membawa Pas ke dalam gabungan politik itu pada 1974 sementara gambar kanan, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) pada 9 Jun tahun ini.

PENGORBANAN

Tetapi ego politik sentiasa mengatasi fiil positif yang lain hingga ramai yang lupa diri. Misalnya, mereka lupa daripada mana mereka berasal, apa sebenarnya yang dikatakan perjuangan. Apa dia pengorbanan itu? Apa erti Bersatu Bersetia Berkhidmat?

Cuma `daya dorong’ ini harus dikawal dengan kukuh melalui personaliti atau sahsiah berserta dengan sistem nilai yang berimbang. Dalam politik, proses inilah yang banyak ketinggalan, lantas menelurkan pergeseran dan permusuhan. Dalam konteks inilah ahli-ahli politik juga harus mempunyai kuatkuasa perintah am sendiri yang dikenakan ke atas penjawat awam. Ini bagi tujuan mengawal dan membanteras perlakuan negatif dalam perjuangan.

Satu perkara ini mungkin sudah lepas iaitu Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau akta antilompat parti. Menyusul pula akta pendanaan politik untuk diluluskan. Ya, memang menjadi lazim dunia, apabila tiada kucing di rumah, tikus bisa bertandak.

Hakikatnya politik majmuk seperti Malaysia memerlukan pemimpin Melayu menjadi teras dalam kerajaan.

Sebelum tahun-tahun 1970-an, orang Melayu tidak menyebut ‘kualiti’. Mereka menyebut sifat-sifat terpuji. Pilih oleh saudara mereka yang bakal membawa kesejahteraan untuk ramai berbanding dengan gelagat temolok sendiri sahaja. Lihat wajahnya, lalu lihat air mukanya. Ketahui perangainya. Bilang jasanya, ketahui budinya.

Malam ini, setelah kata putus diterima atau tidaknya PBM sebagai komponen BN kelima, apakah akan ada lagi parti mengikut jejak untuk bersama BN?

Rakyat tidak pandai berfalsafah dengan teori-teori pelik. Mereka mahu “duit di tangan dapat beli keperluan hidup”. Rakyat mahukan kesejahteraan ekonomi, pendidikan dan sosio-politik yang harmonis. Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak tentunya tidak mahu hak-hak perlembagaan mereka disentuh dan disusutkan. Masyarakat Cina dan India pula mahu hak mereka sebagai rakyat diambil kira dalam penggubalan dasar-dasar utama.

Mengadun ini semua perlukan seni dan keupayaan memerintah serta mentadbir.

Parti-parti politik Melayu berlaga, terus bertelingkah, untungnya siapa?-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×