Tidak lengkap dekorasi kediaman jika tidak diselitkan dengan elemen pokok-pokok hijau.Tidak kisah sama ada pokok hiasan palsu atau hidup, kehadirannya mampu memberikan efek tampak segar pada satu-satu ruangan.
Namun, sudah tentu pokok hidup sebenarnya memberi lebih banyak manfaaat serta kesegaran semula jadi.
Antara pokok hiasan yang paling mudah untuk dijadikan hiasan dalaman rumah adalah sirih gading atau lebih popular dengan nama Money Plant.
Tanaman itu tidak memerlukan cahaya matahari yang banyak, malah mampu tumbuh dengan baik walaupun tanpa siraman yang kerap.
Disebabkan itulah, ia boleh dijadikan tanaman hiasan di dalam rumah tidak kira di ruang tamu, dapur mahupun kamar mandi kerana ia mampu beradaptasi mengikut persekitarannya.
Minggu ini Seri kongsikan idea hiasan untuk pokok sirih gading.
1. Di dalam tanah
Paling mudah adalah menanam di dalam pasu yang mengandungi tanah. Tanaman ini tumbuh lebih cepat di dalam tanah. Tanah kering biasa juga boleh digunakan dan siraman sekali-sekala boleh dilakukan untuk mengelakkan tanaman menjadi terlalu kering. Boleh juga diletakkan dalam pasu kecil-kecil dan dijadikan hiasan pada sinki rumah atau di bahagian tingkap.
2. Di dalam air
Sirih gading juga mampu tumbuh dengan baik apabila dipindahkan daripada tanah ke dalam air. Caranya mudah sahaja, pilih pasu kaca jernih bersesuaian dan masukkan batu sungai pilihan dan rendamkan sepenuhnya akar di dalam air. Sangat sesuai dijadikan hiasan di ruang menonton televisyen atau ruang makan.
3. Di Gantung
Sifatnya yang mampu menjalar juga menjadikan ia sesuai dijadikan tanaman hiasan gantung. Cuma perlu tanam ia dalam tanah dan biarkan ia menjalar di dalam pasu. Senang bukan?
Tips siraman
Periksa tahap kekeringan tanah bagi menentukan waktu yang sesuai untuk menyiram.
Walaupun ia tidak memerlukan siraman berjadual, namun elakkan membiarkan ia kering terlalu lama kerana akan memberikan tekanan terhadap pokok.
Elakkan terlalu mendedahkan tanaman secara langsung kepada cahaya matahari jika meletakkan ia di luar rumah.










