odoh itu rahsia Allah. Siapa yang akan menjadi jodoh kita dan bagaimana kita bertemu dengannya tidak ada siapa yang tahu selain Allah.
Mungkin juga kita berjodoh dengan rakan sekolah, kawan semasa kecil atau seseorang yang ditemui semasa melakukan minat atau hobi tertentu yang sama.
Terasa indah dan manis. Mana tidaknya, sama-sama berkongsi minat, kepuasan dan cabarannya, apatah lagi kalau dirangkumkan kesemuanya dalam ijab dan kabul.
Begitulah yang dirasai, Rozi (bukan nama sebenar) apabila dia bertemu jodohnya ketika menyertai aktiviti menunggang motosikal berkuasa besar kira-kira sedekad lalu.
Pun begitu, siapalah Rozi untuk menolak takdir, apabila hobi dan minat sama itu jugalah yang membawa kepada kehancuran dalam rumahtangganya.
Rozi terpaksa akur suami telah berkahwin senyap-senyap selama hampir dua tahun.
Namun Rozi sentiasa cuba untuk bertenang dan terus berfikiran positif, selain hanya move on dengan kehidupan.
Mengapa dia memilih waktu sekarang untuk mendedahkan semua dan berkongsi cerita?.
Rozi percaya mungkin sudah sampai waktunya untuk dia berkongsi kisah lampaunya yang boleh diteladani banyak orang tentang bagaimana kuasa ‘memaafkan’ menemukannya pada kasih sayang tanpa syarat.
Memulakan hubungan sekadar teman konvoi, silaturahim antara Rozi dan Azman (bukan nama sebenar) kian erat selepas mereka kerap bertemu dalam aktiviti yang dianjurkan kelab motosikal.
Yakin dengan keikhlasan sepanjang tempoh tempoh enam bulan berkawan dan mengenali hati budi, mereka membuat keputusan bertunang dan berkahwin dua bulan selepas itu.
Rozi dan Azman gembira dapat menghabiskan minat dan masa bersama terutama setiap hujung minggu.
Namun selepas melahirkan anak sulung mereka, Danish (bukan nama sebenar), Rozi terpaksa mengehadkan hobi menunggang motosikal berkuasa besar.
Pun begitu, Rozi tidak pernah menyekat Azman untuk meneruskan minatnya itu, walaupun tanpa kehadirannya.
Bagi Rozi, Azman seorang suami yang sangat baik. Bukan mahu bermegah, tetapi itulah yang dirasai sepanjang tempoh hidup dengan suami.
Tetapi tanpa dia sedari, di sebalik kesempurnaan yang dimiliki, suami ada kelemahan.
Azman mengkhianati kepercayaan yang diberikan Rozi selama ini.
Selama ini, Rozi hanya mendengar cerita dari suaminya tentang rakan-rakan penunggang lelaki yang bermasalah dengan isteri, simpan perempuan lain dan banyak lagi.
Kebanyakan individu yang diceritakan dikenali Rozi sendiri.
Ini termasuklah cerita tentang salah seorang ahli konvoi , Syarifah (bukan nama sebenar) yang bermasalah dengan suaminya.
Rozi pada awalnya, agak pelik kenapa semua cerita seperti itu dikongsikan kepada Azman. Namun dia masih bersangka baik.
Hubungan Rozi dan Syarifah semakin rapat sejak rakannya itu berstatus ibu tunggal.
Syarifah sering bertandang ke rumahnya atas alasan rindu untuk melihatnya kembali mengikuti konvoi motosikal seperti sebelumnya.
Allah nak tunjuk. Rozi semakin syak suami cuba sorokkan sesuatu. Sehinggalah pada satu hari, Rozi tergerak hati untuk memeriksa telefon Azman.
Alangkah terkejutnya, Rozi apabila membaca perbualan antara suami dan Syarifah.
Hancur luluh hatinya ketika itu, tetapi dia bersabar dan tenang.
Rozi cuba mengawal emosi. Dia cuba menggunakan akal untuk menanganinya.
Ikatan suci yang dibina bersama suami, akhirnya menemui titik noktah.
Biarpun tidak lagi tinggal sebumbung dan berkongsi bantal, terlalu banyak kenangan pahit manis suka duka yang dikongsi bersama.
Lebih-lebih lagi, sepanjang lima tahun berkongsi hidup, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran dua cahaya mata, Danish, 12 dan Mira, 10, sebagai pengikat kasih.
Setahun selepas berpisah, Rozi menerima perkhabaran bekas suaminya itu terlibat kemalangan ketika menyertai konvoi bermotosikal besar ke selatan tanahair.
Rozi mendapat tahu isteri bekas suaminya meminta cerai selepas tidak sanggup melalui hidup susah bersama selepas Azman jatuh sakit.
Benarlah kesetiaan lelaki diuji saat dia memiliki segalanya dan kesetiaan wanita diuji saat lelaki tidak mempunyai apa-apa.
Sebelum mengakhiri perbualan, Rozi sempat menitip pesan kepada para isteri di luar sana, jika berpisah menjadi pilihan, berpisahlah dengan cara baik dan jangan simpan rasa dendam meskipun sakit hati.
Hanya Allah tempat bergantung.
Percayalah setiap yang berlaku ada hikmah sebaliknya dan berlapang dada menerima setiap takdir.
Sampai bila mahu menyimpan dendam. Sampai bila dia terpaksa menyimpan marah dan sakit hati kepada lelaki itu.
Bagi Rozi, meskipun Azman pernah berbuat salah, mustahil bekas suaminya itu tidak pernah memberi kebaikan dan kenangan manis dalam dirinya.
Lelaki itu tetap ayah kepada anak-anak mereka dan dia tidak sanggup bertindak kejam menjatuhkan maruah lelaki itu.
Azman kini dijaga kedua ibu bapanya di Puchong, Selangor. Seminggu sekali, Rozi akan membawa dua anak mereka Danish dan Mira menziarahi bapa mereka.
Bukan mudah memaafkan seseorang. Ia tidak semudah mengungkapkan hanya di bibir, sebaliknya perlu lahir dari lubuk hati yang paling dalam.
Memaafkan orang lain bukan sahaja membuatkan hati pesalah berasa tenang. Kita yang memberi maaf juga akan berasa tenang.
Allah juga sangat memuliakan mereka yang memaafkan orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
Harta tidak akan berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak akan menambah kepada seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain), melainkan kemuliaan dan tiada merendah diri seseorang itu melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.(Riwayat Muslim).









