Panggilan ‘Kakak Founder RM5’ jadi kekuatan - Utusan Malaysia

Panggilan ‘Kakak Founder RM5’ jadi kekuatan

Keluarga dan pekerja menjadi tulang belakang Norshahila Ahmad.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASA diri kecil berbanding usahawan lain yang lebih hebat gara-gara ada yang memanggil dan menggelarkan diri Norshahila Ahmad, 39, sebagai ‘Kakak Founder RM5’ yang merujuk kepada kakak pengasas produk murah.

Segelintir menganggap ia gelaran biasa. Namun jauh di sudut hati Pengasas Birdnest Beauty Solution (BBS), panggilan itu berbentuk memperlekehkan diri sebagai usahawan produk.

Segala-galanya bermula apabila BBS menampilkan sabun muka berharga RM5, tidak seperti kelaziman pengasas jenama lain yang mengetengahkan produk pada harga puluhan atau ratusan ringgit.

Norshahila yang mesra disapa Kak Sha memiliki alasan tersendiri iaitu apa yang lebih mustahak baginya ialah produk ditampilkan berkualiti dan memenuhi kepuasan pelanggan walaupun dijual murah.

“Harga murah membolehkan saya membantu ramai orang terutama suri rumah dan pelajar menjana pendapatan. Jadi dengan harga RM5 sebuku sabun 16 gram, padanlah dengan harga. Tidak terlalu mahal dan tidak murah. Saya menyasarkan semua golongan dapat memilikinya, termasuklah pelajar.

“Saya tidak kisah pandangan orang, sebaliknya mahu menjaga team (stokis, ejen dan dropship) untuk telus dalam berniaga,” katanya kepada Seri.
Produk keluaran syarikatnya itu memiliki kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kesihatan Brunei.

Bermula dengan niat BANTU RAKAN
Norshahila mula berniaga pada penghujung 2019. Pada peringkat awalnya beliau mahu berniaga dengan atas tujuan membantu seorang rakannya yang memerlukan bantuan kewangan.

“Saya mengenali seorang rakan. Dia dan suaminya, pesara dan tidak mempunyai anak. Beliau menemui saya untuk pinjam wang sebanyak RM15,000. Wang berkenaan bukan untuk mereka sara hidup, sebaliknya ingin disalurkan kepada individu lain yang perlukan wang untuk menampung kos pembedahan.

“Masa itu saya baharu sahaja membuka kafe. Jadi, banyak duit habis pada kafe. Kebetulan timbul idea untuk bantu sebab saya tahu kakak ini berkemahiran dalam uji kaji sabun dan pandai buat sabun kerana pengalamannya bekerja di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dahulu. Ketika itu juga dia sudah buat sabun secara kecil-kecilan untuk hijab wash.

“Saya minta dia buat sabun madu untuk saya sebab kulit saya dan anak-anak bermasalah jerawat. Tapi, saya beritahu dia nak sabun madu yang boleh jual murah sahaja,” katanya mengimbau kenangan.

Lantaran trend sarang burung jadi kegilaan ramai, Norshahila mendapatkan formula match bersama dengan madu dan meminta rakannya itu menyediakan 1,000 sampel pada harga RM1,500.

Bertitik tolak daripada itulah Norshahila mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

“Untung saya waktu itu hanya 50 sen. Saya jual murah sebab mahu tengok persekitaran dan jual hanya pada dropship yang waktu itu ramai dalam kalangan suri rumah dan pelajar,” katanya.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Niat nak membantu rakan sahaja ketika itu, sesungguhnya ibu anak tujuh ini tidak menyangka sama sekali ia menjadi tular dan permintaan sabun meningkat daripada 1,000 kepada 5,000 kemudian cecah 500,000 sebulan, seterusnya tiga juta sabun setahun terjual.

“Tak sangka sabun RM5 ini boleh jadi viral. Saya bersyukur niat nak bantu rakan yang memerlukan duit rupanya Allah bagi rezeki yang tidak terduga kepada saya.

“Duit diperlukan oleh kakak yang saya bantu dah dapat lebih daripada yang dia nak pinjam. Sampai dia cakap kepada saya, Alhamdulillah Sha, akak dah selesaikan semua masalah sebab Sha beli sabun dengan akak. Bermula daripada situlah sabun Birdnest Propolis Collagen Soap berharga RM5 di pasarkan kepada umum,” katanya.

MILIKI PELBAGAI PRODUK
Selain sabun, jenama itu turut mengetengahkan rangkaian produk penjagaan wajah seperti serum, facemist dan skincare berasaskan sarang burung serta minyak wangi dan produk kecantikan pada harga tidak lebih RM30.

Berikutan tular produk susu pisang, beliau turut menampilkan sabun pisang dengan ramuan pencerahan kulit wajah. Variasi produk dilakukan bagi mengelakkan pasaran jadi tepu dan pelanggan naik jemu.

“Setiap tahun saya akan tampilkan produk baharu. Untuk tahun ini Lengkong Viral dan set syampu. Saya nak team dapat jual pelbagai produk dan pelanggan juga ada pilihan untuk membeli. Saya turut memperkenalkan foundation dan sunscreen serta eyeliner. Kesemua produk harga mampu milik sahaja di bawah RM30,” katanya.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Norshahila memasang niat untuk menceburi dalam bidang perkhidmatan Mobile Spa untuk upgrade ejen jualannya.

“Sambil memberi perkhidmatan, ejen boleh jual barang. Melalui mobile spa ini ejen dapat jana dua pendapatan iaitu dengan memberi khidmat rawatan, urutan wajah dan badan menggunakan produk BBS dalam masa sama dapat menjual produk.

“Setakat ini sudah ada tiga ejen yang mempunyai kemahiran dalam urutan. Insha-Allah, saya akan adakan kelas untuk mereka dan disertakan sijil tauliah untuk ejen yang berminat,” katanya yang turut berharap mampu membuka pusat BBS di setiap negeri bagi memudahkan ejen dan pelanggan mendapatkan produk ditawarkan.

Hingga kini BBS ada di Pahang, Sarawak dan Johor dengan 8,000 ejen seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak dan di Brunei serta Singapura.

Tentangan keluarga jadi kekuatan
Biarpun sudah melakar kejayaan, anak kelahiran Selangor ini tidak lari daripada melalui liku hidup. Pengalaman banyak mengajar beliau erti kehidupan. Dibesarkan di Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Norshahila membuktikan anak peneroka seperti dirinya mampu melakar kejayaan.

Meskipun pernah mendapat tentangan daripada ibu bapa yang tidak mahu anaknya yang mempunyai ijazah menceburi bidang perniagaan, namun akhirnya akur selepas melihat kesungguhan anak ketiga daripada enam adik-beradik ini berniaga.

“Saya berniaga sejak kecil sebenarnya. Macam-macam saya berniaga. Awal-awal dulu masa di universiti, saya buka gerai jual air, pisang goreng dan keropok lekor seorang diri pada sebelah petang dan malam pula berniaga burger. Pernah juga berniaga kecil-kecilan di bazar Uptown. Kiranya sepanjang belajar saya memang tidak menyusahkan ibu bapa. Untung berniaga saya tampung pengajian saya ketika itu. Namun ibu bapa saya menentang keras saya berniaga.

“Saya perlu buktikan kepada mereka kesungguhan saya itu. Saya pernah jual barang orang lain. Pada 2007 saya buka kedai jamu dan spa di Kota Damansara. Selama 10 tahun saya uruskan spa.

“Lama-kelamaan ibu bapa terbuka hati menerima kerja saya berniaga. Bukan apa, kami bukanlah daripada keluarga senang, mana-mana ibu bapa, pasti risau melihat anaknya sambung pengajian tetapi tidak teruskan dalam bidang tersebut,” katanya.

Bermula daripada bawah banyak mengajar Norshahila sedar diri dan jujur meskipun sudah berjaya kerana itulah kunci untuk terus kekal dalam perniagaan.

“Saya tahu susah senang berniaga itu macam mana. Saya bukanlah daripada keluarga kaya raya, ada duit atau nama. Saya lebih selesa tidak menunjuk-nunjuk dan hanya berniaga secara telus untuk bertahan lama dalam perniagaan. Saya juga baharu jadi founder produk sejak 2019 walaupun mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam perniagaan.

“Jadi, bagi saya bila kita selalu jujur dan rendah diri, team juga percaya, seronok dan tiada batas pemikiran seperti segan atau ada gap antara founder. Walaupun ada sesetengah founder tunjuk kekayaan untuk beri semangat pada orang lain yang ingin berjaya, tapi ia boleh timbul riak dan tidak bertahan lama.

“Saya selesa tunjuk diri sebenar. Biar kita jual murah tapi produk berkualiti dan bernilai untuk pelanggan,” katanya yang menegaskan kejayaan hari ini tidak akan berhasil tanpa sokongan padu daripada suami, Mohamad Sani Ahmad Bakir dan tujuh orang anak-anaknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×