Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya setelah dilantik sebagai Perdana Menteri mengeluarkan ‘kata kunci’ amat penting bagi seluruh pimpinan negara dan rakyat, iaitu konsep dan istilah Keluarga Malaysia.
Istilah keluarga merupakan satu simbol budaya dan sistem kemasyarakatan bagi semua kaum di negara ini. Istilah ini masih kita kekalkan dari sudut konsepnya, sama ada berkeluarga secara keturunan dan darah yang sama, atau pembentukan keluarga melalui perkahwinan dengan segala hubungan kemesraan dan pertalian amat kuat.
Oleh itu, pertama sekali rakyat terutama dalam pembangunan politik haruslah memahami bagaimana ikatan kekeluargaan itu harus diperkemaskan dan dibangunkan mengikut keadaan masa dan zaman agar nama baik negara tetap menjadi kuat dan berpadu.
Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin membicarakan dan memberikan pandangan tentang falsafah kesatuan bangsa di negara ini. Dalam salah satu tulisannya menjelaskan, “Selepas berlaku peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969, dalam tempoh 50 hari, Jabatan Perpaduan Negara (JPN) ditubuhkan kerajaan. Iltizam mewujudkan perpaduan ini diperkukuh dengan pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 melalui Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975. DEB mempunyai dua objektif bersifat ekonomi tetapi matlamat akhir pelaksanaannya ialah untuk mencapai perpaduan nasional. Pada 1972, JPN dinaik taraf kepada sebuah kementerian penuh, iaitu Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di bawah pimpinan Tun V.T. Sambanthan sehingga 1974.”
Berdasarkan mekanisme dikemukakan oleh kerajaan sejak lama dahulu, maka seharusnya rakyat juga harus mencuba mengeluarkan pemikiran dan gerakan terbaharu dalam melaksanakan kesepaduan kaum dan kekeluargaan seperti yang dikemukakan mutakhir ini.
LITERAL
Oleh itu, konsep dan pelaksanaan Keluarga Malaysia tidak seharusnya difikirkan sebagai pemikiran biasa secara terlalu mudah atau literal yang sering menjadi pemikiran rakyat umum terutama ahli politik serta para pentadbir semenjak 1969 ketika negara kita mencari formula perpaduan kaum akibat peristiwa 13 Mei 1969.
Kembali kepada kata kunci yang amat baik daripada Ismail Sabri iaitu ‘keluarga’, maka istilah ini haruslah diterjemahkan dalam segala perancangan dan pelaksanaan dasar negara. Malah semua golongan rakyat harus memahami apakah konsep dan realiti hubungan keluarga dan perbezaan serta tradisi tertentu tentang adat dan budaya kumpulan keluarga itu yang seharusnya difahami dari segi kesatuan dan perbezaannya.
Dalam masyarakat pluralisme, banyak juga moto terkandung dalam istilah bahasa seperti Perpaduan di dalam Kepelbagaian (Unity in Diversity), Bersetuju untuk Tidak Bersetuju (Agree to Disagree) yang seharusnya difahami falsafahnya oleh semua pihak.
Semoga kata kunci yang dinyatakan oleh Perdana Menteri akan dapat difahami falsafah dan pelaksanaannya secara menyeluruh oleh semua warga pimpinan dan rakyat. – UTUSAN
TAN Sri Dr. Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia.










