RAKYAT Malaysia yang terdiri daripada kaum, agama, bahasa dan warna kulit berbeza menjadikan masyarakatnya kaya dengan pelbagai budaya. Perbezaan inilah yang menjadi kekuatan, bukan kelemahan dalam pembentukan bangsa Malaysia sebaliknya perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity). Oleh kerana negara ini memilih untuk mengamalkan kesederhanaan, maka ia harus dipertahankan sepanjang masa.
Pembentukan kaum yang pelbagai adalah kekuatan dan daya tahan negara. Namun, perbilangan kaum ini pada tahap meruncing jika tidak dipupuk setiap masa dengan prinsip penggabungan dan penerapan nilai-nilai sejagat.
Justeru, adalah amat dialu-alukan daya usaha Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyeru semua pihak bersepakat menyelamatkan Keluarga Malaysia. Dalam ucapan awam sulungnya selaku Perdana Menteri pada 22 Ogos tahun lalu, beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa itu sifatnya lebih inklusif.
“Ia merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Di mana kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua. Sebab itu konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi saya, keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.
“Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri, sama ada anak muda mahupun yang telah berusia. Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” katanya.
Meskipun cabaran getir dalam baki empat bulan mendatang sebelum memasuki 2023 agak sukar dijangka rupa bentuknya, namun paling utama negara perlu berwaspada setiap masa dalam menguruskan kerumitan berbilang kaumnya. Memasuki tahun kemerdekaan ke-65 dengan tema Teguh Bersama pada 31 Ogos ini, tiba masanya kerajaan dan rakyat bersama bangkit selepas dunia melalui berdepan cabaran pandemik Covid-19. Kerajaan amat perlukan sokongan rakyat.
Realitinya, pilihan kaedah ‘pemandu-automatik’ tidak membantu untuk mencapai kejayaan. Semua perkara harus dirancang dan dilakukan dalam kaedah manual hampir setiap masa.
HAMBAR
Meluahkan pandangan peribadi melampau mengenai insiden atau isu agama secara terbuka tanpa usul periksa akan hanya menjejaskan perpaduan masyarakat.
Kita bukan hidup dalam keterasingan tetapi perlu menghormati antara satu sama lain. Negara ini sebenarnya mempunyai model perpaduan yang menjamin hak masyarakat majmuk secara adil dan seimbang serta terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka semua kaum tidak harus berasa terancam untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing serta tidak perlu khuatir kehilangan identiti mereka.
Diakui tanpa isu dan cabaran politik, kerajaan adalah hambar dan legap, tanpa keseronokan dan keghairahan untuk kebaikan. Tetapi pada masa sama, tanpa kesediaan mengakui kesilapan, ia juga membawa padah. Ini memandangkan sesebuah kerajaan itu secara demokratik bergantung kepada sentimen dan sokongan rakyat.
Mempertahankan perpaduan negara dengan bersandarkan hujah-hujah yang rasional akan sentiasa menghasilkan perkara-perkara positif. Dari 2006 hingga 2011, rakyat melihat kejadian-kejadian menjengkelkan seperti mencemar masjid dan kuil, melontar kepala lembu ke dalam kuil Hindu dan kepala khinzir ke dalam masjid dan surau terutama selepas Mac 2010. Ini berikutan keputusan mahkamah berhubung satu isu kontroversi berkaitan sensitiviti umat Islam.
Pada Julai 2010, Kuala Lumpur dibanjiri pula kumpulan politik berbaju kuning dipanggil Bersih II menuntut perubahan-perubahan dalam pilihan raya.
Walaupun kebelakangan ini dengan pertukaran kerajaan buat pertama kali sejak merdeka dan keadaan Parlimen mencerminkan satu manifestasi ‘mudah tersinggung dan panas’, demokrasi sebenar-benarnya telah wujud.
MH370
Ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan hak-hak asasi manusia yang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 2008, walaupun undang-undang proeksekutif seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Enakmen Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di bawah undang-undang generik kuasa dan perintah telah dipinggirkan selepas 2008.
Kini, cabaran negara tidak terhad pada isu-isu domestik tetapi melangkaui arena global. Isu-isu global seperti kehilangan pesawat MH370, penembakan MH17 di timur Ukraine, keganasan kumpulan Daesh serta peperangan di Ukraine mempengaruhi sentimen politik negara.
Ia seterusnya diharungi cabaran getir oleh kerajaan apatah lagi dengan bilangan pengguna internet negara menunjukkan peningkatan kepada lebih 30 juta mewakili 79 peratus penduduk.
Daripada jumlah berkenaan, 75 peratus menggunakan dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman media sosial. Ini ditambah kadar penembusan jalur lebar isi rumah meningkat kepada 70 peratus manakala kadar penembusan telefon mudah alih melebihi 100 peratus, kini ada hampir 50 juta langganan.
Sebab itu ahli politik kerajaan dan pembangkang perlu memainkan peranan penting untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kaum dalam keadaan perbezaan ideologi, fahaman, tohmahan dan fitnah yang berleluasa.
Aset, kekuatan dan daya tahan negara terletak pada pembentukan kaum yang pelbagai, iaitu masa depan berbilang budaya dan kaum. Tetapi perbilangan kaum ini di tahap runcing jika ia tidak dipupuk setiap masa dengan prinsip penggabungan dan penerapan nilai-nilai sejagat.
Dengan mempertimbangkan polarisasi kaum terutama melalui budaya yang tidak terkawal dan keterlaluan, agama hanya akan menjadi berkesan dengan satu pelaksanaan undang-undang ketat. Adakah mungkin ini masa sesuai untuk mempertimbangkan penggubalan undang-undang Akta Hubungan Kaum (RRA) yang merangkumi aspek mengeratkan perpaduan sosial dan mungkin mentakrifkan pantang larang undang-undang dalam masyarakat berbilang kaum?
Waima apa pun, perlu diperingatkan bahawa apabila perpaduan terhasil, bermakna pelabur akan mula mempercayai pasaran ekonomi negara yang menjadi stabil. Seterusnya mereka mula melakukan pelaburan ke negara ini. Anjakan sistem ekonomi akan naik seiring dengan perpaduan pada tahap maksimum. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.











