Perkongsian kuasa BN terbaik

Perkongsian kuasa BN terbaik

BARISAN Nasional (BN) mempunyai susunan, struktur dan pendekatan sangat jelas dari segi aspek perkongsian kuasa dalam membawa kestabilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK majmuk itu memerlukan orang Melayu menjadi teras dalam kerajaan. Katalah ada kerajaan tetapi orang Melayu tidak menyertainya, boleh ‘jalan’ atau tidak kerajaan itu? Itu sebabnya semua harus faham, inilah konsep Barisan Nasional (BN).

BN mempunyai susunan, struktur dan pendekatan sangat jelas dari segi aspek perkongsian kuasa dalam membawa kestabilan. Dari segi soal perkongsian kuasa, BN sangat jelas. BN tidak seperti parti-parti lain yang mereka berkehendakkan setiap parti bertanding dengan kerusi yang lebih kurang sama bilangannya.

Untuk BN, parti-parti yang menjadi komponennya tidak menuntut perkara sedemikian. Namun, mereka membenarkan UMNO bertanding lebih kerusi manakala parti lain masuk juga bertanding tetapi tidaklah sama banyak dengan UMNO.

Maknanya dalam BN ada parti teras. Tetapi ini tidak berlaku dalam komponen atau gabungan politik lain, tiada parti teras. Bahananya nanti, mereka tidak membawa kestabilan malahan parti-parti dalam komponen yang tidak ada parti teras sentiasa bersaing, berlawan dan bergaduh sesama sendiri.

Sebab itu kepada seseorang ahli atau pemimpin UMNO diluahkan pendirian begini, “Saya UMNO dan saya perjuangkan orang Melayu. MCA perjuangkan kaumnya dan MIC begitu juga.

Namun apabila kita semua datang ke BN, kita bertoleransi dan kena sederhana manakala parti komponen lain jangan cakap soal bangsa.” Itu konsepnya.

Jika hendak bercakap soal orang Melayu, cakap dalam platform UMNO. Ringkasnya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Demikian halnya dengan isu-isu kaum Cina dan India, bercakaplah terus terang dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MCA atau MIC.

Namun di pihak sebelah pembangkang sana, masuk sahaja mesyuarat, “Anda tidak lagi boleh bercakap pasal kaum.” Anda masuk PKR, bolehkah bercakap soal masalah dan sensitiviti orang Melayu? Kerana di dalamnya ada kaum-kaum lain. Sekarang, jika orang Melayu hendak bercakap pasal orang Melayu, maka UMNO-lah jawapannya.

Demikianlah cara BN menguruskan Malaysia yang majmuk. Formula BN adalah yang terbaik, baharulah negara berupaya mengecap kestabilan.

Dalam konteks ini, boleh dilihat kerusi yang ditandingi BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu. Walaupun 50 peratus daripada 56 kerusi adalah berteraskan Melayu, tetapi UMNO tidak bertanding cuma 28 kerusi. UMNO bertanding 37, MCA (15) manakala MIC (4). Sekiranya apa-apa berlaku, UMNO kuat, bermakna formulanya begitu dengan syarat rakyat sokong semua. Dan terbukti formula ini diterima pengundi dengan BN meraih 42 kerusi.

Tetapi lihatlah Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding 16, DAP (14) dan PKR (20). Ia bermakna tidak ada siapa yang lebih dari 28 dan tidak ada parti teras.

Di Perikatan Nasional (PN) pula, betul Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding lebih 30 kerusi, tetapi ada Friends of PN iaitu sayap bersekutu (yang disertai bukan Melayu). Itu sebabnya konsep dan susunan BN lebih membawa kestabilan dengan melihat kerusi berapa banyak yang dipertaruhkan kepada calon-calon UMNO, tonggak BN.

Aspek permuafakatan sebenar­nya tiada galang ganti dalam BN. Persefahaman ini termeterai dengan parti-parti komponen­nya, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang bertanding di kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya Melayu. Cuma isunya dalam politik yang dinamik hari ini, adakah strategi, taktik atau konsep ini sekadar ramuan atau ‘perjanjian lama’? Itu sahaja.

PRU15

Realitinya, meskipun ada pandangan mengatakan tiada parti dominan akan membentuk kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), namun ada pendapat yakin UMNO akan menjadi parti dominan mengatasi parti-parti lain secara berasingan. Parti-parti lain bergabung atas nama parti yang tiada akar umbi dengan cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pun tidak ada. Parti-parti berkenaan dilihat sukar menyaingi UMNO dari aspek itu yang memiliki 191 bahagian dan lebih 21,000 cawangan.

Walaupun UMNO mengakui bilangan cawangan dan ahli berjuta-juta bukan jaminan kemenangan sesebuah parti, namun tidak dapat dinafikan struktur parti berkenaan membantu dari segi gerak kerja.

Kekalahan BN dalam PRU14 tempoh hari kerana fitnah dan tohmahan dibawa oleh PH. PH menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi terutama orang muda. Ini menyebabkan ramai terpesona dengan janji-janji melangit itu.

Tetapi hari ini senario sudah berbeza. Rakyat sudah tahu tembelang PH. Pengundi kini boleh bezakan antara kerajaan BN, PH dan PN. Dahulu sebelum PRU14, rakyat mahu ‘cuba-cuba’, tetapi kini mereka boleh bezakan mana satu intan, mana satu permata.

BN menaruh keyakinan boleh menjadi parti dominan dalam PRU15 mengambil kira senario politik semasa berikutan kekecewaan rakyat terhadap ‘kerajaan 22 bulan’ yang masih belum ditebus. Masalah ekonomi, perumahan dan janji-janji manifesto tidak tertunai merupakan rentetan kegagalan kerajaan PH.

Rakyat hari ini boleh mengubah kesilapan itu. Dan kerana itu UMNO menyokong kerajaan hari ini kerana menaruh harapan tinggi kesilapan lalu di bawah PH dapat ditebus. Tetapi malangnya kerajaan masih dibelenggu dengan pelbagai masalah yang tidak dapat menebus kesilapan PH.

BN mengambil pendekatan integrasi, bukan asimilasi. Ada kaum Cina, India dan Melayu. UMNO tidak menyuruh Melayu jadi Cina atau India. BN juga tidak cuba hendak bangunkan satu nilai-nilai rojak. Tidak sama sekali. Melayu kekal Melayu, tetapi rakyat pelbagai kaum boleh bersama untuk mendukung satu-satu matlamat seperti pembangunan, keselamatan untuk kepentingan negara.

Karakter Malaysia ada orang Melayu, Cina, India dan kekal Melayu, Cina serta India. Dalam negara ini terasnya orang Melayu, itu karakter.

Juga, perbezaan yang amat nyata BN sekarang dengan BN sebelum PRU14 ialah parti yang mewakili kaum pribumi di Sarawak. Kelompangan jelas di situ. Dari segi solidariti, memang goyah jika dibandingkan solidariti komponen BN di Semenanjung dan Sabah. Oleh itu, persoalan menarik ialah bagaimana pendekatan BN di Sarawak? Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukannya gabungan BN. Apakah manifesto BN tidak meliputi rakyat Sarawak? Atau BN sedang mempertimbangkan parti komponen baharu yang akan mengibarkan benderanya di Sarawak? Oleh itu isu perkongsian kuasa BN di Sarawak hendaklah diambil perhatian serius.

Apa pun, orang Melayu khususnya ahli UMNO hendaklah benar-benar memahami konsep perkongsian kuasa ini dan dihadamkan. Ini untuk mengelak mereka dipergunakan oleh segelintir pemimpin bahagian UMNO yang gelojoh dan bercita-cita tinggi untuk bertanding dalam PRU di peringkat Parlimen.

Ingatilah kepedihan dan kesusahan yang kita alami akibat kehilangan kuasa pada PRU14. Kenalilah siapa kawan dan siapa lawan sebenar. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×