GST – sistem cukai barangan dan perkhidmatan yang sarat dengan kontroversi. Sistem cukai yang dikatakan telah menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas pemerintahan lebih 60 tahun. Sistem cukai yang kurang popular dalam kalangan rakyat kebanyakan. Sistem cukai yang mampu mencetuskan kebimbangan dan keresahan pelbagai pemegang taruh di negara ini.
Namun, sekiranya kita melihat dari perspektif hasil dan kedudukan fiskal semata-mata, GST terbukti berupaya menjadi salah satu rejim cukai yang menjana hasil tambahan berkesan dan cekap untuk negara. Sumbangan GST kepada hasil negara adalah hampir dua kali ganda (20.1% pada 2017), berbanding cukai jualan dan perkhidmatan ( SST) yang hanya mampu menyumbang 11.9 peratus kepada hasil negara pada 2020.
Selain itu, GST adalah sistem percukaian yang cekap dan telus kerana mewujudkan jejak kertas merentasi keseluruhan rantaian bekalan. Hal ini menjadikannya lebih sukar bagi komuniti perniagaan untuk mengelak atau lari daripada membayar cukai.
Sebaliknya, SST dilihat mempunyai risiko dan peluang ketirisan lebih tinggi. Malah, dari segi rekod dan pelaporan juga, golongan peniaga beranggapan sistem SST lebih mengelirukan dan tidak telus.
Namun, sekiranya sistem cukai ini hendak dilihat dalam konteks lebih mencapah dan pelbagai, antara persoalan kritikal perlu diketengahkan ialah mengapa GST tidak mendapat sambutan dan ditolak (jika diukur berdasarkan keputusan PRU14) secara besar-besaran semasa kali pertama pelaksanaannya?
Pada pendapat kami, antara sebab utama GST ditentang adalah kerana kelemahan tanggungjawab fiskal dari segi ketirisan perbelanjaan hasil kutipan. Perkara ini secara tidak langsung mencipta persepsi dan prejudis berpanjangan ke atas kerajaan sekali gus menafikan sebarang naratif dan fakta yang mewajarkan pelaksanaannya. Naratif bahawa GST sebenarnya tidak diperlukan kalau kerajaan berbelanja dengan lebih cermat berjaya menambat kepercayaan dan sokongan masyarakat.
Kedua, kelemahan pelaksanaan GST turut berpunca daripada kekurangan persediaan rapi dan menyeluruh dalam proses bayaran balik/rebat yang kurang cekap. Ketiga, kadar tunggal enam peratus yang merentas majoriti barangan dan perkhidmatan juga ‘mengejutkan’ masyarakat dan pasaran.
Keempat, strategi komunikasi yang lalai, lengai, lagi longlai. Proses libat urus awam kurang kelihatan dan masyarakat berasa bahawa GST adalah satu dasar yang tidak selari dengan kehendak dan keperluan mereka.
Penerangan saling bercanggah, mengelirukan serta tidak memberikan gambaran keseluruhan yang betul menyebabkan GST menjadi satu sistem sangat menakutkan dan mudah disalah anggap, terutamanya ketiadaan naratif serta mekanisme jelas dan memudahkan proses peralihan masyarakat. Hal ini membuka banyak ruang spekulasi, khabar angin serta serangan bersifat politik.
VAT
Sekiranya kerajaan merancang untuk mengembalikan pelaksanaan GST, kita perlu mengambil iktibar daripada kesilapan sebelum ini. Strategi, naratif dan pendekatan lebih 170 negara semasa memperkenalkan sistem cukai nilai ditambah (VAT) masing-masing boleh menjadi rujukan dan suri teladan yang baik untuk kita.
Antara penambahbaikan naratif yang boleh diberikan perhatian adalah keperluan mengutarakan kegentingan GST terhadap kelestarian hasil pendapatan negara. Perkara ini boleh dihuraikan dalam beberapa peringkat.
Pertama, perkongsian fakta dan kedudukan semasa fiskal negara dan ketidakupayaan untuk terus bergantung kepada hasil berkaitan petroleum. Kedua, mengangkat pelaksanaan GST sebagai ikhtiar untuk memastikan negara tidak ditinggalkan kepada generasi akan datang dengan bebanan hutang yang besar tanpa sebarang usaha untuk memperluaskan asas cukai negara.
Ketiga, menunjukkan dengan jelas bagaimana pelaksanaan semula GST sebenarnya dapat meningkatkan daya tahan dan pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka sederhana dan panjang, seperti dijelaskan dalam Ringkasan Polisi GST: Penilaian, Keperluan dan Hala Tuju. Keempat, kerajaan perlu menyediakan pelan konkrit mengenai pemerkasaan tadbir urus perbelanjaan serta pengurusan kewangan awam yang berhemah dengan penuh akauntabiliti, kecekapan dan ketelusan.
Dari segi fasa pelaksanaan pula, kadar GST yang sesuai perlu dipertimbangkan terutama apabila ekonomi negara masih berada pada landasan pemulihan. Ini bermakna kerajaan tidak semestinya mengenakan peratusan tunggal yang merentas semua jenis dan kelompok barangan/perkhidmatan.
Misalnya, kadar pariti tiga hingga empat peratus untuk menggantikan hasil kutipan SST dahulu boleh menjadi peratusan permulaan sebelum merancang untuk menaikkannya beberapa tahun kemudian bergantung kepada keadaan ekonomi. Sebaliknya, kadar yang lebih tinggi bagi barangan bersifat mewah, import dan bukan keperluan boleh dikenakan.
Yang paling penting, strategi pelengkap yang holistik mesti diwujudkan. Ia bertujuan memastikan kesan terhadap perubahan harga adalah minimum dan terkawal. Pada masa sama, aspek kesejahteraan masyarakat awam akan lebih terpelihara.
Contohnya, pengembalian GST dilakukan berserta jaringan keselamatan sosial lebih luas dan bersepadu khususnya yang menyasarkan golongan paling rentan dalam negara. Sistem penyampaian perlu diperkemas agar bantuan sosial sampai kepada mereka yang paling memerlukan. Ketirisan harus diperangi habis-habis, tanpa kompromi.
Akhir sekali, sama ada untuk mengembalikan semula GST atau sebaliknya, prerogatif kerajaan haruslah dipimpin oleh matlamat, naratif serta strategi yang betul. Dasar yang baik sekalipun sukar dan asing, pasti akan disokong. Kami yakin, masyarakat kita semakin cakna dan matang. Kini, tugas kerajaan untuk membuktikan perkara sama. – UTUSAN
MOHD. DAUD MAT DIN ialah Pengarah Penyelidikan ZCG Consulting dan BENEDICT WEERASENA ialah Pengarah Penyelidikan Bait Al Amanah.










