Perpaduan mampu tergugat sesaat

Perpaduan mampu tergugat sesaat

CABARAN untuk mengekalkan momentum perpaduan boleh diibarat seperti embun di hujung rumput yang boleh tergugat dalam sekelip mata. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELANGKAH masuk ke Ogos dan diikuti September, sudah semestinya seluruh rakyat teringatkan rentetan peristiwa yang mewarnai perjalanan sejarah negara tercinta ini. Tetapi yang pastinya terbayang di pemikiran kita adalah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan kejayaan pembentukan gagasan Malaysia. Tanpa dua peristiwa penting ini, kemungkinan besar sejarah negara kita berbeza sama sekali daripada apa yang kita lihat hari ini.

Dalam mengimbau sejarah perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu, negarawan terulung, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meletakkan perpaduan sebagai batu asas. Beliau yang berpegang pada prinsip kesederhanaan, percaya perpaduan antara kaum amat penting, lebih-lebih lagi Tanah Melayu mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama, bahasa, budaya dan cara kehidupan berbeza.

Bersama pemimpin kaum lain, beliau membuktikan kepada British bahawa orang Melayu, orang Cina, mahupun orang India dapat bersatu hati dan bersedia untuk mentadbir negara bersama. Hasil kerjasama antara kaum yang diterjemahkan dalam bentuk gabungan parti politik berjaya membawa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Kerjasama yang sama turut terserlah dalam usaha pembentukan Malaysia. Pemimpin dari Tanah Melayu berganding bahu bersama pemimpin Sarawak dan Sabah yang akhirnya memuktamadkan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Cabaran untuk mengekalkan momentum perpaduan dalam sebuah masyarakat berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa seperti di Malaysia amatlah besar. Ia boleh diibarat seperti embun di hujung rumput, yang boleh tergugat dalam sekelip mata. Dengan hanya satu pukulan kecil, cermin perpaduan yang dibina selama ini boleh retak seribu.

Rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 menunjukkan betapa rapuhnya perpaduan di negara ini akibat dieksploitasi oleh segelintir pihak bagi kepentingan mereka. Implikasinya terlalu besar. Keamanan, keharmonian dan kestabilan negara tergugat serta merencatkan pembangunan dirancang.

Kita harus bersyukur dan berterima kasih kepada Allahyarham Tun Abdul Razak kerana mengambil inisiatif menangani isu perpaduan yang tercalar akibat peristiwa 13 Mei. Atas usaha beliau bersama para pemimpin lain, Rukun Negara diisytiharkan sebagai ideologi kebangsaan pada 31 Ogos 1970. Jawatankuasa Rukun Negara dianggotai 12 orang dari pelbagai kaum meneliti dan merangka Rukun Negara. Hasilnya, satu rangka bertunjangkan nilai-nilai ketuhanan, kesetiaan, keadilan, kewarganegaraan, keutuhan, kebahagiaan dan kesopanan berjaya diformulasikan.

KELUARGA MALAYSIA

Daripada itu, lima prinsip Rukun Negara berjaya dilahirkan menggariskan panduan yang harus dihayati oleh setiap rakyat. Antaranya mengamalkan sikap menghormati dan menerima perbezaan agama dan kepercayaan, menumpahkan taat setia kepada raja dan negara, mendukung segala perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, menghormati dan mematuhi undang-undang serta menerapkan nilai-nilai sejagat seperti adil dan saksama, toleransi, muafakat, tanggungjawab dan mengamalkan pemikiran rasional. Pendek kata, penghayatan sepenuhnya Rukun Negara dapat mengukuhkan semangat negara bangsa dalam kalangan rakyat.

Semasa Rukun Negara dimasyhurkan sebagai Pengisytiharan Diraja, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin turut mengingatkan rakyat dengan bertitah, “Prinsip-prinsip yang tergabung dalam Rukun Negara itu ialah juga prinsip-prinsip yang sebenarnya telah menjadi amalan hidup kita selama ini tetapi prinsip-prinsip itu perlu ditegaskan sekali lagi dan diperbaharui, diamalkan secara penuh kesedaran dan sungguh-sungguh oleh tiap-tiap rakyat negeri ini.”

Usaha murni negarawan terdahulu diteruskan oleh pemimpin-pemimpin lain dengan melaksanakan pelbagai dasar dan pelan berteraskan perpaduan. Contohnya, pada 2021, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dalam usaha memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan seperti yang terangkum dalam lima prinsip Rukun Negara. Konsep Keluarga Malaysia turut diperkenalkan untuk melahirkan sebuah masyarakat yang hidup bersatu padu dan harmoni.

Segala usaha dilaksanakan jelas menunjukkan kesungguhan pemimpin negara dalam memastikan perpaduan terus terpelihara. Namun, bagaimana pula dengan kita? Tidakkah kita mempunyai tanggungjawab sama? Jangan kita bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk memikul tanggungjawab tersebut. Kita, sebagai warganegara juga harus dipertanggungjawabkan.

Sempena ulang tahun ke-52 pengisytiharan Rukun Negara sebagai ideologi negara, marilah kita bersama-sama menyuburkan pohon perpaduan. Elakkan membuat sebarang provokasi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Cuba cari titik persamaan antara kita dan menerima perbezaan dengan hati terbuka yang wujud dalam Keluarga Malaysia. Hanya dengan itu, negara akan terus berkembang dan maju.

Bersama-sama, kibarkanlah Jalur Gemilang, sementelahan negara kita akan menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dalam masa terdekat sebagai tanda kita menghargai negara tercinta. Selamat menyambut kemerdekaan negara dan Hari Malaysia. – UTUSAN

DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×