PADA 1847, sebuah kubu didirikan oleh seorang raja Melayu di atas Bukit Gajah Mati di Lukut, Port Dickson. Raja Jumaat Raja Jaafar membina kubu digelar Kota Lukut ini di atas tapak seluas 200 meter panjang dan 170 meter lebar yang turut dijadikan kediamannya.
Ini kisah 175 tahun dahulu dan selepas melalui pelbagai coretan sejarah, tiada apa lagi yang tinggal di Kota Lukut. Apa yang ada hanyalah sisa runtuhan tapak istana Raja Wok, iaitu puteri Raja Jumaat, tinggalan tembok susunan batu, kolah air dan perigi raja.
Bagi mengenang kegemilangan Lukut sebagai kawasan perlombongan bijih timah selain sejarah Kota Lukut itu sendiri, Muzium Lukut di bina di bawah bukit kota terbabit. Ia dirasmikan pada 1999.
Muzium itu kini diuruskan oleh Jabatan Muzium Malaysia dan dibuka setiap hari kecuali hari pertama dan kedua Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Tiada bayaran masuk dikenakan.
Walaupun Muzium Lukut dikatakan sering dikunjungi pelawat terutama pada hujung minggu dan cuti umum, situasi sama tidaklah pula berlaku di Kota Lukut yang didaftarkan sebagai Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara pada 2006.
Tidak seperti statusnya, keadaan Kota Lukut ketika ini hanyalah sebidang tanah lapang dipenuhi semak samun dan lalang. Ada laluan pejalan kaki, nampak masih baharu tetapi itupun telah ditutupi rumput meliar.
VIDEO
Memang tidak banyak lagi tinggalan boleh dilihat tetapi bukan bermaksud kawasan itu perlu terbiar dan diabaikan oleh pihak berwajib. Apa yang berlaku memang menyedihkan, tidak wajar sama sekali kawasan penuh sejarah itu dibiarkan sebegitu rupa.
Mungkin pada sesetengah orang, isu ini nampak remeh tetapi dari sudut warisan dan sejarah, Kota Lukut begitu besar nilainya.
Kota Lukut mempunyai potensi cukup baik sebagai produk pelancongan. Bersama Muzium Lukut, ia tidak lagi boleh hanya menjadi destinasi persinggahan pengunjung yang kebetulan melalui kawasan sekitarnya selepas bercuti di pantai-pantai peranginan yang ada.
Ia mesti menjadi destinasi wajib pergi, mesti dipromosikan selalu, perlu sentiasa menjadi sebutan malah menjadi pilihan untuk generasi muda dan dewasa bergambar dan mengambil video untuk dikongsikan di akaun media sosial masing-masing.
Semua ini diakui bukan tugas mudah, tidak kiralah ia di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun Jabatan Muzium Malaysia. Semua perlu sama-sama berganding bahu. Komuniti yang berada di sekeliling juga perlu memberikan sokongan dan bantuan.
Kota Lukut perlu terus dipelihara dan dipulihara supaya ia mampu terus bertahan. Bukan hanya sebagai kenang-kenangan tetapi juga sebagai pedoman bagi diceritakan zaman berzaman. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Negeri Sembilan.










