Bersatu haramkan senjata nuklear

Bersatu haramkan senjata nuklear

MINGGU ini masyarakat dunia khususnya rakyat Jepun memperingati kemusnahan bandar raya Hiroshima dan Nagasaki akibat bom atom pada 6 dan 9 Ogos 1945. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA minggu ini, masyarakat dunia umumnya serta rakyat Jepun khususnya memperingati kemusnahan bandar raya Hiroshima dan Nagasaki, 77 tahun dahulu akibat penggunaan senjata bom atom pada 6 dan 9 Ogos 1945. Dalam peristiwa hitam berkenaan, tentera berikat diketuai Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom ke atas kedua-dua bandar raya terbabit bagi mengakhiri Perang Dunia Kedua (1939-1945).

Pengguguran senjata bom atom berkenaan menyebabkan kemusnahan teruk dan kehilangan banyak nyawa tidak bersalah termasuk wanita, warga tua serta kanak-kanak, beratus ribu jumlahnya. Tidak dapat dipastikan sehingga kini jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit. Namun, jumlah mangsa yang dinyatakan melalui rekod-rekod sejarah adalah sekitar 120,000 hingga 140,000 orang.

Kesan radiasi atau radioaktif daripada pancaran bom atom terbabit juga menyebabkan masalah kesihatan teruk terpaksa dipikul oleh mangsa-mangsa yang terselamat. Kesan dihadapi mereka masih kelihatan sehingga kini. Impak radiasi atau radioaktif ini juga memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

Presiden AS ketika itu, iaitu Harry S. Trumen yang memberi kelulusan ke atas penggunaan senjata bom atom berkenaan menyatakan bahawa tindakan ke atas kedua-dua bandar raya itu adalah perlu bagi mengakhiri Perang Dunia Kedua dengan segera serta bagi menghentikan tindakan kekejaman dan keganasan dilakukan tentera Jepun terhadap penduduk di kawasan yang telah mereka kuasai di Asia Timur termasuklah di Malaysia ataupun dikenali sebagai Malaya, Sarawak dan Borneo Utara.

Walaupun begitu, masih banyak pihak berpendapat, senjata pemusnah seperti bom atom tidak sepatutnya digunakan langsung terutama terhadap masyarakat umum. Perdebatan mengenai isu kewajaran penggunaan bom atom ke atas bandar raya Hiroshima dan Nagasaki, 77 tahun lalu masih hangat dibincangkan oleh banyak pihak sehingga kini. Semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua serta berakhirnya Perang Dingin (1945-1991), tiada lagi senjata bom atom digunakan ke atas mana-mana mana bandar raya serta masyarakat umum.

Walaupun begitu, negara-negara Barat dilihat masih membina serta mempunyai keinginan menggunakan senjata bom atom ini.

Semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua, senjata bom atom ini ditambah baik dari segi kekuatan kemusnahannya dan kini lebih dikenali sebagai bom nuklear yang mempunyai tahap kemusnahan lebih besar. Beberapa negara Barat masih menyimpan bom nuklear dengan kuantiti agak banyak serta dilihat masih terus membangunkan teknologi pengunaan senjata ini.

Tindakan dilakukan oleh Barat ini telah menjadi contoh ikutan negara-negara lain yang masih membangun termasuk negara mundur seperti Korea Utara.

Dengan mengambil kira faktor kemusnahan besar serta impak teruk yang boleh dibawa melalui pembinaan dan penggunaan senjata nuklear ini, sudah sampai masanya semua negara bersatu bagi mengharamkan sebarang bentuk pembinaan dan pengunaannya. Walaupun bahan nuklear boleh digunakan dengan cara yang baik serta dapat memberi faedah kepada masyarakat, namun sebarang bentuk pembinaan serta penggunaannya sebagai senjata perlu disekat dan diharamkan sepenuhnya demi kesejahteraan dan keamanan sejagat.

PBB

Pada 7 Julai 2017, bertempat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, majoriti negara dunia memberi persetujuan mereka untuk menyokong Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear (Treaty on the Prohibition of Nuclear Weapons atau Nuclear Weapon Ban Treaty). Perjanjian ini adalah yang pertama dibuat dalam sejarah bagi mengharamkan pembangunan dan pengunaan senjata nuklear.

Sehingga 29 Jun lalu, hampir 66 negara memberi persetujuan mereka terhadap perjanjian antarabangsa ini termasuk Malaysia. Malaysia menandatanganinya pada 30 September 2020, menjadikannya negara ke-46 dalam perjanjian tersebut. Malaysia menegaskan komitmennya yang teguh terhadap perlucutan senjata nuklear dan akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain ke arah dunia yang bebas ancaman senjata nuklear.

Malangnya, masih banyak termasuk dalam kalangan negara-negara maju seperti AS, United Kingdom, Perancis dan Russia menyatakan pendirian mereka untuk tidak menyokong perjanjian ini dan tidak memberi undi mereka terhadap perjanjian berkenaan atas pelbagai alasan. Langkah yang telah diambil oleh negara-negara maju ini sedikit sebanyak akan membantutkan segala usaha untuk mengharamkan pembangunan dan pengunaan senjata nuklear. Langkah yang diambil oleh mereka juga menghantar isyarat yang jelas kepada negara-negara yang mempunyai rekod buruk hak asasi manusia seperti Israel dan Korea Utara untuk terus berdegil membangunkan program senjata nuklear masing-masing.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi semua negara dunia yang telah menyatakan persetujuan mereka terhadap perjanjian berkenaan untuk kekal bersatu dan mengambil segala usaha bagi terus mempelawa negara- negara yang masih belum memberi persetujuan terhadap perjanjian berkenaan agar menyokongnya. Hanya melalui sokongan semua negara dunia, senjata nuklear dapat dibendung dan dihapuskan sepenuhnya bagi menjamin masa depan dunia yang lebih selamat, aman dan makmur. – UTUSAN

DR. Muzaffar Syah Mallow ialah Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×