Ganasnya proses geologi berangkai

Ganasnya proses geologi berangkai

ALIRAN puing Sungai Kupang di Kampung Iboi pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa, 17 rumah musnah, 3,546 penduduk terjejas dan anggaran kerugian RM26 juta. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERISTIWA bencana geologi aliran puing Sungai Kupang berlaku di Kampung Iboi dan perkampungan di hilirnya pada 4 Julai lalu mengorbankan tiga nyawa, menyebabkan 17 rumah musnah, 3,546 penduduk terjejas dan anggaran kerugian mencecah RM26 juta. Seperti biasa, banyak pandangan dilontarkan oleh masyarakat mengenai faktor penyebab bencana ini, semuanya hanya berdasarkan persepsi.

Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) mewujudkan sebuah pasukan khas penyiasatan dengan menjemput pelbagai kementerian dan agensi yang mempunyai kepakaran teknikal untuk bersama dalam usaha ini. Ini pertama kali sebuah pasukan pelbagai agensi diwujudkan untuk mencari fakta mengenai punca, faktor penyebab dan mekanisme bencana serta mengesyorkan langkah jangka pendek dan panjang bagi mengurangkan risiko bencana pada masa hadapan.

Antara agensi utama terlibat ialah Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Perparitan dan Saliran, Agensi Angkasa Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Institut Penyelidikan Air Negara. Kami bersyukur dilantik sebagai pakar bidang untuk membantu pasukan menyediakan laporan terintegrasi.

Penyiasatan dijalankan dengan membuat tinjauan lapangan, menggunakan helikopter, dron dan meninjau sepanjang alur sungai. Tidak seperti kejadian bencana geologi aliran puing di Sungai Telemung dan Sungai Lui pada 18 Disember 2021 yang disebabkan fenomena tabii, di Sungai Kupang faktor penyebab lebih rumit melibatkan gabungan antara fenomena tabii dan aktiviti manusia. Hujan lebat melampau menyebabkan tanah runtuh meluas di kawasan bercerun curam dalam hutan sekunder dan ladang hutan. Tanah runtuh dengan kandungan air tinggi mencetus aliran puing iaitu fenomena ganas penyebab bencana geologi utama membunuh dan merosakkan harta benda di dunia. Di Malaysia, sejak 1995, seramai 422 orang terbunuh disebabkan bencana geologi aliran puing.

Banjir puing di bahagian lembah tanah tinggi adalah lanjutan daripada aliran puing apabila kandungan air lebih banyak daripada bahan puing. Bongkah batuan sudah didamparkan di bahagian aliran puing sementara pasir dan lodak serta kayu-kayan yang hanyut bersama air banjir. Kayu-kayan dan pasir terperangkap di Jambatan Kampung Iboi membentuk empangan sementara. Apabila jambatan pecah, damparan puing berlaku serta-merta menyebabkan kematian dan kemusnahan 17 rumah. Inilah bencana sebenar dihadapi masyarakat yang berkampung di bahagian kaki bukit sungai pergunungan. Apabila semua kayu-kayan dan pasir sudah terdampar, banjir seterusnya hanya membawa lodak yang banyak.

DURIAN HIBRID

Apa yang berlaku bukan banjir biasa, malah bencana ini tidak sesuai dikelaskan sebagai ‘fenomena banjir.’ Secara saintifik, fenomena ini dikenali sebagai ‘proses geologi berangkai’, bermula dengan tanah runtuh dan disusuli aliran puing yang sangat ganas. Bahagian terakhir ialah banjir puing dan lumpur. Nasib baik zon aliran puing tiada penduduk, jika tidak kadar kemusnahan akan menjadi lebih besar. Penduduk di Kampung Iboi kurang bernasib baik kerana jambatan yang menjadi penghalang hanyutan kayu-kayan menjadi punca utama kemusnahan.

Aliran puing adalah fenomena langka. Berasaskan kejadian lepas, tempoh ulangan pada sesebuah lembangan adalah melebihi 50 tahun. Ini tidak bererti Sungai Kupang sudah bebas daripada bahaya. Keadaan kerosakan sungai, pencetekan alur dan banyaknya bahan puing yang masih terdampar sepanjang profil sungai boleh menyebabkan kekerapan banjir meningkat.

Bongkah kecil dan kerikil serta kayu-kayan yang masih tersangkut di bahagian hulu masih boleh dibawa air banjir ke hilir.

Di kawasan perbukitan hulu Sungai Kupang, guna tanah sudah berubah. Kebanyakan kawasan telah dibalak dan yang tinggal ialah hutan sekunder. Sebahagian hutan sekunder ini pula telah dijadikan hutan ladang dengan tanaman getah dan durian hibrid. Proses pembukaan tanah, pembinaan jalan tanah merah dan teres menyebabkan proses hakisan tanah yang aktif.

Sungai Kupang mengalami perlodakan dan pencetekan menyebabkan keupayaan mengalirkan air berkurangan. Pada masa sama, banyak tanah runtuh berskala sederhana hingga kecil terjadi pada tebing jalan tanah merah. Ini meningkatkan lagi bahan puing yang dibawa oleh aliran puing. Berdasarkan perkiraan kami, hampir 20 peratus bahan pasir dan lodak yang menyebabkan banjir puing dibekalkan oleh proses tanah runtuh dan hakisan yang berlaku di hutan ladang.

Ramai juga yang membuat andaian takungan air, tandak dan kolam perangkap lodak menjadi punca banjir puing. Berasaskan perkiraan kami dalam semua kolam yang terdapat sepanjang Sungai Kupang, kuantiti air yang tertakung tidak melebihi 5,000 meter padu, sementara isi padu air yang menyebabkan aliran dan banjir puing pula melebihi 11,000,000 meter padu. Tidak mungkin kuantiti air kolam iaitu hanya 0.0005 peratus daripada isi padu keseluruhan air menjadi penyebab banjir puing di perkampungan sepanjang Sungai Kupang. Bagi kami, tandak dan kolam yang terdapat di hulu sungai menjadi mangsa aliran puing.

Walaupun telah dikenali sejak 1995 dan mengorbankan 442 nyawa, bencana geologi aliran puing masih belum mendapat perhatian dan tidak pernah dijadikan dasar pengurusan bencana di Malaysia. Setiap kali bencana ini berlaku, sebutan yang lazim digunakan ialah kepala air, banjir dan ribut taufan. Tindakan susulan yang diambil ialah dengan menganggap fenomena ini sebagai banjir biasa dan banjir kilat. Sebetulnya, banjir puing ialah bahagian terakhir daripada fenomena bencana geologi yang bermula dengan tanah runtuh dan aliran puing.

Tiba masanya kerajaan memperkenalkan dasar bencana geologi banjir puing, mewujudkan institusi penyelidikan mengenai bencana yang sangat berbahaya ini dan memperkenalkan pendekatan penyelesaian jangka panjang yang mesra masyarakat terimpak di luar bandar. – UTUSAN

Profesor Emeritus Datuk Ibrahim Komoo dan Profesor Che Aziz Ali ialah Pakar Pasukan Siasatan Bencana Baling, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kluster Alam Sekitar & Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×