Michelle cair dengan keikhlasan Amiruschka - Utusan Malaysia

Michelle cair dengan keikhlasan Amiruschka

Michelle dan Riza berkongsi pengalaman mereka di Youtube, Amirchelly Show.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Segalanya bermula sewaktu kami ditakdirkan menjadi rakan sekelas pada 2016 dulu,” ujar Michelle Maali, 24, gadis asal Jerman sewaktu menceritakan detik-detik pertemuannya dengan jejaka Melayu, Riza Amir, 26, di salah sebuah institut pengajian tinggi terbaik Jerman, Universiti Reutlingen.

Kedua-dua anak muda ini menyambung pelajaran dalam Ijazah Kewangan dan Perakaunan Utama Perniagaan Antarabangsa di Universiti yang sama. Sejak dari itu, mereka berkenalan dan berkawan seperti biasa.

Namun siapa sangka hubungan persahabatan itu perlahan-lahan bertukar kepada cinta. Setahun kemudian, Riza yang bertindak ala lelaki budiman mengambil keputusan meluahkan perasaan hatinya terhadap Michelle.

Luahan Riza yang penuh dengan keikhlasan itu diterima baik oleh Michelle yang sebenarnya turut memendam perasaan terhadap Riza sejak awal perkenalan mereka berdua.

“Saya suka dengan sikap orang Melayu yang lemah lembut, baik hati dan pemurah. Ia cukup berbeza sekiranya dibandingkan dengan sikap orang Jerman yang sedikit tegas, lantang dan kasar,” jelas Michelle berterus terang tanpa berlapik seperti orang Melayu kita.

Sekalipun Michelle merupakan seorang warga Jerman namun beliau berdarah kacukan, bapanya berasal dari St. Petersburg, Rusia tetapi tinggal di Kazakhstan sebelum berhijrah ke Jerman. Ibunya pula berketurunan Jerman.

Keturunan campuran ini bukan sahaja menjadikan Michelle tampak begitu jelita dengan rupa paras yang indah diselangi ketinggian yang memuaskan persis seorang model bahkan gaya hidupnya juga banyak dipengaruhi budaya dan adab orang Asia.

Setelah hampir enam tahun menjalin cinta, akhirnya Riza mengambil keputusan melamar dan menjadikan Michelle sebagai isteri. Majlis perkahwinan mereka berlangsung di Stuttgart.

Michelle dan ahli keluarganya yang menetap di kota Metzingen ternyata tidak mempunyai apa-apa masalah untuk menerima menantu dari negara dan benua berbeza memandangkan kedua ibu bapanya pernah berkunjung ke Malaysia pada 2016 sementara Michelle pula pernah bekhidmat di sebuah syarikat teknologi terkemuka Jerman, Bosch di Singapura selama enam bulan. Maka sudah tentu sedikit sebanyak mereka sudah terbiasa dengan budaya ketimuran kita.

“Pada awalnya, mak saya agak kurang terbuka kerana pada sangkaannya, Riza tidak mampu bertutur di dalam bahasa Jerman dengan baik, namun sangkaan ibu saya ternyata meleset.
“Riza mampu berkomunikasi di dalam bahasa ibunda saya dengan fasih sekali,” tambah Michelle yang boleh berbahasa Jerman, Rusia dan Inggeris. Kini beliau aktif belajar bahasa Melayu.

MENANTU KESAYANGAN

Ibu Michelle sangat sayangkan menantunya sehinggakan Riza mendapat panggilan nama samaran Rusia, – ‘Amiruschka’.

Menurut Riza, beliau merasa begitu beruntung kerana Michelle dan ahli keluarganya boleh dikatakan lain daripada yang lain.

“Michelle bukan sahaja suka masakan pedas bahkan dia pun menggemari buah cempedak goreng, manggis, tosai, nasi kandar, ikan bakar, makanan laut, durian dan sebagainya,” tambah Riza yang merasa lega dengan keinginan isteri mat salihnya itu.

Sebenarnya nama Michelle dan Riza tidak lagi asing bagi netizen kita terutamanya buat pengguna di aplikasi TikTok.

Kedua-duanya dikenali menerusi video mereka yang bersifat santai dan lucu. Sehingga kini, TikTok mereka sudah mempunyai lebih 858,500 pengikut.

Kini pasangan bahagia ini sudah berpindah ke Kuala Lumpur dan sedang membangunkan sebuah syarikat yang dinamakan Abroadassist yang bertujuan untuk mengendalikan kemasukan penuntut ke Jerman setiap tahun. Sehingga kini, syarikat mereka berjaya menghantar ramai pelajar ke Jerman.

“Belajar di Jerman bukan sahaja percuma bahkan kualiti pendidikan mereka pun tak boleh disangkal lagi. Rugi kalau tak sambung belajar di sini,” kata Riza yang ingin melihat anak bangsanya terbang lebih tinggi ke persada antarabangsa.

Sekiranya berminat untuk menonton siri penuh pengenalan, tonton mereka di youtube, Amirchelly Show.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×