MUFFIN pasti menjadi kegemaran ramai tidak kira usia. Sedap dinikmati ketika minum petang.
Terdapat pelbagai perisa muffin dan tahap kemanisan juga berbeza mengikut selera masing-masing.
Bagi penggemar muffin yang biasa dibeli dan dinikmati di kafe, apakata kali ini cuba membuatnya sendiri. Mana tahu, ia lebih sedap.
Resipi Muffin Pisang Blueberry Bercoklat dari Siti Fatimah Ahmad ini semudah ABC untuk disediakan.
RESIPI MUFFIN PISANG BLUEBERRY BERCOKLAT
Bahan-bahan
1 3/4 cawan tepung kek atau gandum
Sedikit soda bikarbonat (diayak)
Sedikit serbuk penaik
1 cawan susu full cream atau fresh milk
1 cawan gula aising (boleh kurangkan jika tidak suka manis)
1 biji telur gred A
1 biji pisang berangan dilenyek
1/3 cawan minyak masak
100 gram Beryl’s dark coin (boleh juga guna chocolate chip)
Sedikit kismis atau blueberry kering
Blueberry filling
Badam untuk hiasan
Cara penyediaan
1. Satukan tepung serbuk penaik dan soda bikarbonat.
2. Masukkan gula aising, minyak, susu, telur, pisang dilenyek, Beryl’s dark coin dan buah-buahan kering.
3. Kacau sebati dengan spatula sahaja atau senduk. Jangan terlalu kacau kerana akan ia akan mengganggu tekstur muffin apabila dibakar nanti.
4. Masuk adunan separuh dalam bekas muffin. Hiaskan dengan taburan badam dan blueberry filling.
5. Bakar selama 15 hingga 20 minit pada suhu 180 darjah celcius.
6. Setelah masak, hidangkan muffin mengikut citarasa masing-masing.










