MASJID Lapan Kubah yang terletak kira-kira lapan kilometer dari bandar Jertih di Besut, Terengganu hanya merupakan masjid kampung.
Namun, keunikannya yang mirip bangunan ikonik St. Basil Cathedral di Moscow, Rusia membolehkan masjid di Kampung Lapan Kotak itu muncul sebagai antara binaan tersohor di Terengganu.
Di sebalik tarikan seni binanya, mungkin tiada siapa menyangka masjid berharga lebih RM4.5 juta itu dibangunkan 100 peratus hasil wang derma orang ramai.
Bermula dari kawasan tapak hinggalah ke binaan, kesemuanya adalah sumbangan orang perseorangan mahu pun organisasi termasuk korporat selain peruntukan awal sebanyak RM500,000 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Pengerusi Masjid Lapan Kubah, Ismail Jaapar, 44, berkata, pembinaannya bermula pada 2013 bagi menggantikan masjid kayu berusia lebih 100 tahun yang sudah uzur dan tidak mampu menampung banyak jemaah.
Katanya, cadangan pembangunan semula binaan itu mendapat respons positif dalam kalangan penduduk, bahkan seramai tujuh pemilik tanah sawah mewakafkan hartanah mereka sebagai tapak masjid baharu.
Menurutnya, masjid baharu itu mula dibuka kepada orang ramai pada 2017 semasa solat sunat tarawih walaupun ketika itu ia belum siap sepenuhnya.
“Struktur luar yang unik terutama binaan kubah berwarna-warni berjaya menarik perhatian ramai hingga mempopularkan masjid ini walaupun ketika itu kita masih dalam proses pembinaan.
“Inspirasi kubah seperti bangunan ikonik di Rusia itu dicetuskan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan secara tidak langsung memberi kelainan kepada Kampung Lapan Kotak jika memiliki Masjid Lapan Kubah,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Ismail, dalam satu-satu masa masjid itu boleh menampung sehingga 500 jemaah.
Ujarnya, selain beribadah, orang ramai turut bergambar berlatarbelakangkan pemandangan kubah masjid seolah-olah berada di luar negara.
“Hampir setiap hari kami menerima antara 50 ke 100 pengunjung sama ada rombongan menaiki bas mahu pun keluarga yang berkereta tetapi aktiviti dihadkan hanya di luar bagi mengekang penularan Covid-19.
“Namun, memandangkan kita dibangunkan dengan wang derma orang perseorangan dan pihak korporat, jadi ada beberapa bahagian yang belum sempurna misalnya ketiadaan jalan berturap di kawasan masjid,” katanya sambil mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menderma.
Bagaimanapun, menurut Ismail, antara kemudahan terbaharu yang dibangunkan di sekitar masjid ialah satu unit kedai makan dan cenderamata dengan kedua-dua premis itu dijangka beroperasi dalam masa terdekat.
Katanya, pihak masjid turut merancang menambah satu lagi unit kedai di kawasan sama di samping membina pusat latihan untuk anak-anak mengikuti kelas fardu ain dan al-Quran.
“Antara perancangan masa depan yang lain ialah membuka madrasah untuk pengajian tahfiz dan mengusahakan inap desa,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kata Ismail, ‘kuasa’ tular membolehkan masjid kampung itu dikenali ramai bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan bahkan di luar negara.
“Sebenarnya kami tidak menjangka keadaan ini berlaku kerana masjid ini tidak secanggih masjid lain. Harapan saya agar usaha kami dapat merapatkan lagi jemaah di kampung sekali gus memupuk semangat bersatu-padu dan silaturahim,” katanya.

SENI BINA PIKAT KEDUTAAN RUSIA
Seni bina Masjid Lapan Kubah yang turut mendapat jolokan Masjid Rusia itu disifatkan mampu menjadi penghubung dua negara antara Malaysia-Rusia.
Menurut Ismail, perkara tersebut dinyatakan wakil Kedutaan Rusia di Malaysia menerusi panggilan telefon kira-kira dua bulan lalu.
Malah, katanya, pihak kedutaan sangat berbangga atas inisiatif penduduk kampung mengetengahkan menara ikonik mereka sebagai binaan rumah ibadat umat Islam.
“Wakil itu turut meluahkan hasrat untuk melawat Masjid Lapan Kubah satu hari nanti dan meminta pihak ahli jawatankuasa masjid menyediakan risalah dalam bahasa Rusia untuk kefahaman mereka.
“Perkara tersebut sudah dibincangkan dalam mesyuarat cuma belum ada tindakan susulan berikutan situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Menurut Ismail, di pihak penduduk pula, tentunya keseluruhan 700 penghuni kampung berkenaan teruja kerana hasil pembinaan Masjid Lapan Kubah membolehkan perkampungan itu dikenali ramai dengan pelbagai carian di internet.
“Rata-rata pelancong luar negara kagum rekaan masjid yang moden dapat dibangunkan di atas tanah bendang dengan panorama sawah padi menghijau,” katanya.










