Cucu itu penawar
Buat hari yang getir
Buat risau yang sedang hadir
Cucu itu sekarung senyum
Dan seberkas ketawa
Di samping tangis
Yang tidak ku faham penyebabnya
Cucu itu gumpalan kasih yang bersih dan paling indah
Antara salah satu puisi yang bermakna dalam buku Belajar Jadi Atuk dan Wan merupakan karya terbaharu oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh yang mencatat pengalaman beliau bergelar datuk kepada empat cucu.
Beliau meluahkan perasaan dalam sajak menggambarkan watak dan ragam cucu-cucunya iaitu Aleph, Iskandar, Adira dan Imran yang melahirkan kasih sayang luar biasa kepada beliau dan isteri.
Buku Belajar Jadi Atuk dan Wan merupakan rakaman perasaan datuk dan nenek yang pertama kali diterbitkan.
Ujar penerima Anugerah Sastera Negara 1991 ini, permulaan beliau menulis buku ini adalah dengan mengambil inspirasi daripada komunikasi dan interaksi bersama cucu-cucunya.
“Permulaannya buku ini ditulis adalah apabila melihat perkembangan cucu pertama. Kemudian cucu-cucu yang seterusnya. Puisi ini menceritakan gelagat dan ragam cucu-cucu sepanjang 2012 hingga 2020.
“Mereka berinteraksi dan berkelahi di hadapan saya malah kadang-kadang bergandingan dengan saya untuk membuat sesuatu. Saya melihat perasaan, watak dan penguasaan mereka terhadap alam dan lain-lain.
“Sebagai seorang penyair, saya cuba selami perasaan tangis, perkataan dan setiap kebolehan mereka antaranya mahir dalam matematik, melukis dan bercerita. Dunia mereka yang saya kongsi dan ceritakan dengan kata-kata seperti cat atau lukisan melalui suara saya,” katanya pada Bicara Karyawan: Belajar Jadi Atuk dan Wan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Tambah Muhammad, beliau menganggap puisi sebagai foto yang boleh menjadi kenangan untuk cucu-cucu apabila ketiadaan mereka sebagai datuk dan nenek kelak.
“Saya sangat bersyukur temui dunia baharu dengan menulis puisi untuk kanak-kanak, manusia kecil yang istimewa wataknya. Saya menulis sajak-sajak semacam tanda melalui usia mereka dan ia seperti foto.
“Luar biasa sajak ini ialah seperti foto di belakangnya adalah lapisan perasaan, interaksi masyarakat. Ada makna pada mata dan suaranya, jadi gambaran yang lebih penuh. Itulah yang saya cuba sampaikan,” katanya.
Jelas beliau, buku itu sebagai ingatan dan kenangan untuk insan lain yang ada datuk yang boleh menulis untuk mereka.
Ia sesuai dibaca oleh datuk dan nenek kepada cucu, ibu dan bapa kepada anak-anak mereka.
Setiap puisi dilampirkan gambar berwarna memberi keterujaan pembaca sambil membaca dengan laras bahasanya yang sesuai difahami oleh kanak-kanak.
Ada 111 puisi dalam naskhah ini yang merakam perasaan datuk dan nenek serta ragam dan gelagat bersama cucu bagi mencipta kenangan terkandung dalam buku ini.
“Kita sebagai orang dewasa harus belajar menjadi datuk. Jadi guru perlu belajar dan kursus. Nak jadi datuk juga perlu belajar walaupun tiada kursus.
“Kadang-kala yang mengajarnya cucu secara tidak langsung. Kita tidak mengajar cucu tetapi mereka yang mengajar kita. Itulah antara yang saya cuba bayangkan dan sampaikan dalam buku ini,” katanya.










