‘Mainan politik’ punca RCI Wang Kelian ‘senyap’

‘Mainan politik’ punca RCI Wang Kelian ‘senyap’

Anggota Pasukan Gerakan Am melewati kem penempatan sementara dan kubur besar menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada 2015. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permainan politik didakwa menjadi antara punca Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan berhubung kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar yang menempatkan 139 mayat di Bukit Wang Burma,  Wang Kelian pada 2015 terus ‘senyap’ dan tidak didedahkan kepada umum.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, salah seorang anggota RCI berkenaan, Dr. Tan Seng Giaw berkata, siasatan yang dilaksanakan suruhanjaya itu sudah lengkap dengan beberapa dapatan dikenal pasti berhubung isu pemerdagangan manusia terbesar dalam sejarah negara.

Selain itu katanya, RCI yang ditubuhkan berhubung kes berkenaan juga sudah membuat beberapa syor termasuk tindakan yang perlu diambil untuk memperketatkan kawalan terutamanya di sempadan negara.

“Tetapi suasana politik sekarang mungkin ini (isu di Wang Kelian) tidak membawa kejayaan kepada undi. Maksudnya dalam pilihan raya umum akan datang, ia bukan satu perkara yang dapat menarik perhatian, itulah masalah ahli politik mahu dapat undi.

“Adakah (dapatan siasatan) RCI boleh membawa undi? Mungkin tidak kerana dianggap sebagai satu isu yang terlalu lama (sebab itu tidak didedahkan sampai sekarang).

“(Namun itu mungkin) sangkaan kita. Kita hanya boleh berharap kerajaan dapat me­nerangkan kepada masyarakat bagaimana kerajaan menguruskan hal seperti itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, RCI ditubuhkan berhubung penemuan mengejutkan yang berlaku di puncak bukit tersebut pada masa itu dengan sesi pendengaran dibentangkan Pengerusinya, Tun Arifin Zakaria bermula 17 April 2019 selepas mendengar keterangan daripada 48 saksi.

Laporan RCI berkenaan tragedi itu dikatakan telah siap, bagaimanapun sehingga kini terus kekal menjadi tanda tanya apabila belum pernah didedahkan.

Mengulas lanjut, Seng Giaw yang juga veteran DAP berkata, antara masalah yang dikenal pasti menjadi punca kes di Wang Kelian itu berlaku adalah kerana Malaysia mengalu-alukan etnik Rohingya untuk datang atau masuk ke negara ini.

Sehubungan itu katanya, ia membolehkan penjenayah mengambil kesempatan untuk memerangkap etnik tersebut meskipun mereka tidak tahu apa-apa.

“Ada sindiket pergi ke kampung-kampung di Myanmar untuk menyebarkan hal ini (negara mengalu-alukan etnik Rohingya) memberitahu kepada mereka yang menderita, mencari kerja dan sebagainya bahawa ada ‘syurga’ di Malaysia.

“Jadi, mereka di kampung pun tak tahu apa-apa dan bersetuju datang dan ikut sindiket, tetapi mereka dibawa ke bukit-bukau di sempadan Malaysia dan Thailand, maka di situ dijadikan tebusan untuk mengugut keluarganya memberikan wang jika tak mahu (mangsa) dianiaya dan dibunuh.

“Apa lebih kesal adalah (mangsa) itu kebanyakannya orang Islam, tetapi ditanam dengan liang lahadnya yang tidak sempurna,” katanya.

Beliau berharap, Malaysia dapat mengambil langkah terbaik bagi mengawal semua kawasan sempadan di negara ini.

“Kita susah sebab banyak bersempadan dengan Thailand, Indonesia, Kalimantan, jadi apa sahaja boleh berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×