Ujian buat pendakwah

Ujian buat pendakwah

SEMAKIN tinggi keilmuan dan keimanan, semakin tinggilah pula ujian yang Allah timpakan ke atas para pendakwah. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMAKIN hari semakin takut membaca berita-berita berkaitan agamawan kita yang terpalit dengan pelbagai isu dan masalah terutama melibatkan jenayah seksual. Bayangkan, orang yang selama ini kita angkat sebagai idola, contoh teladan, pendidik dan pendakwah, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kalau dahulu kita sering disajikan dengan berita-berita sebahagian penjaga sekolah tahfiz terlibat dalam kes-kes liwat pelajar-pelajar lelaki, kini digemparkan pula dengan cerita-cerita pendakwah selebriti merogol anak gadis bawah umur.

Inilah ujian untuk para pendakwah. Semakin tinggi keilmuan dan keimanan, semakin tinggilah pula ujian yang Allah timpakan ke atas mereka. Namun, ini juga merupakan pengajaran buat masyarakat terutama orang Melayu.

Sejak dari turun temurun, golongan agama dianggap begitu suci sehinggakan apa sahaja yang keluar dari mulut mereka dilihat benar belaka tanpa usul periksa. Itu belum lagi sikap taksub yang keterlaluan. Mengkritik dan mempertikaikan agamawan umpama jenayah agama dan si pelaku dicela sehabis-habisnya.

Ini adalah barah dalam masyarakat kita. Bukankah dalam Islam sendiri mengajar seseorang itu daripada menjadi taksub terhadap mana-mana individu? Ketahuilah bahawa golongan agamawan bukanlah nabi atau rasul. Mereka bukanlah penentu tempat kita sama ada di syurga atau neraka.

Islam mengajar kita menghormati agamawan tetapi bukan sehingga menyucikan mereka. Kita juga harus faham, yang berkopiah itu bukanlah melambangkan orang beriman. Berjambang bukan bermakna dia seorang syeikh dan berjubah tidak bermaksud dia alim. Itu sekadar pakaian sunnah, bukan penentu kebenaran seseorang.

TULAR

Orang kita juga diminta untuk sentiasa bersoal jawab dengan agamawan, bukan menerima bulat-bulat kata mereka sebab sikap menerima tanpa usul periksa akan merencatkan cara seseorang itu berfikir, tidak berdaya saing dan dungu. Sebab itulah kita senang kena tipu.

Kita yang berilmu pasti tidak mudah terpedaya dengan kata-kata mereka, tetapi bagi yang tidak berfikir dan gemar menyucikan agamawan akan menerimanya sahaja. Semuanya dibuat untuk menjadi tular, dipuji dan nak buat duit dengan mudah.

Kalau dahulu orang berpusu-pusu nak hantar anak-anak mereka ke sekolah tahfiz, tapi sekarang cukup takut. Disangkakan pusat tahfiz dapat mendidik anak-anak kita menjadi orang berguna, tetapi apa yang berlaku, anak-anak itu pula dirosakkan. Ya, tidak semua sekolah tahfiz sedemikian tapi ia wujud dan itulah realiti yang berlaku pada hari ini.

Dengan sikap sebahagian agamawan di negara ini yang tidak berhati-hati dalam tutur bicara dan perlakuan, akibatnya Islam tercalar. Masyarakat bukan Islam terus mentertawakan dan memperlecehkan kita. Mereka menghukum agama kita menerusi tindak-tanduk pendakwah sedemikian.

Saya bukan nak menghina agamawan tetapi mahu bantu sesama kita supaya lebih bijak menilai seseorang. Cukuplah dengan segelintir ahli politik yang mempermainkan kita, janganlah pula kita dipermainkan dengan agamawan.

Kepada agamawan, hayatilah sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Abu Nuaim dan ad Dailami: “Siapa yang makan dengan (memperalat) ilmu, Allah membutakan kedua-dua matanya, dan neraka lebih layak untuknya.”

Dan kepada masyarakat kita, jadilah seorang yang bijak dan berfikiran waras. Jangan disebabkan seseorang itu kelihatan berperwatakan baik, maka kita mengiyakan segala-galanya. Tiada sesiapa pun di atas muka bumi ini yang dapat menentukan sama ada kita menuju ke syurga ataupun neraka. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×