Ketepi seruan segerakan PRU15

Ketepi seruan segerakan PRU15

ISMAIL Sabri Yaakob (kiri) bersalaman dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga. – FACEBOOK PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 28 Julai lalu, sekali lagi menyaksikan sejarah politik negara terlakar. Kesediaan ahli-ahli Parlimen bersetuju sebulat suara dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti memberikan gambaran baharu terhadap pemeliharaan amalan demokrasi di negara ini. Ia membuktikan hasil kepercayaan dan keyakinan ahli-ahli politik terhadap kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri masih relevan dan memacu ke arah landasan senario politik negara yang betul dengan mengambil kira aspirasi dan keperluan parti-parti politik untuk menyambung kelestarian amalan politik bersih dan diyakini rakyat.

Begitu juga halnya dengan kelulusan ke atas lanjutan pemakaian Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2021 (SOSMA) sebelumnya yang menunjukkan kerajaan meraih peneguhan keyakinan dalam kalangan ahli-ahli politik mahupun rakyat untuk menyaksikan lebih banyak keadilan dan penguatkuasaan terhadap keselamatan negara diutamakan dan dipelihara supaya harga kemerdekaan terus dihormati.

Kesediaan kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan membuka lembaran baharu yang bakal menyaksikan amalan lompat parti dapat diatasi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah hadiah demokrasi yang ditunggu-tunggu oleh penggiat politik dan rakyat supaya amalan keadilan demokrasi dapat dimartabatkan.

Bermula dengan idea penyatuan gagasan nasional Keluarga Malaysia sebagai teras dan indikator kewibawaan pentadbirannya, Ismail Sabri telah mengorak permulaan pascapolitik yang menyatukan semua kaum, sekali gus menjadi saksi kemegahan rakyat membina negara yang ketika ini di ambang pascapandemik dan kegusaran mereka mengharungi dilema politik tidak berkesudahan.

Senario tersebut memberikan suatu petanda bahawa gagasan Keluarga Malaysia mula membuahkan hasil walaupun kerajaan digasak dengan pelbagai cabaran menghadapi ketidaktentuan ekonomi negara tempias daripada keadaan ekonomi global yang tercalar akibat kesan peperangan Russia-Ukraine dan krisis makanan sedunia. Kebijaksanaannya mengambil langkah drastik menyelesaikan masalah harga barangan keperluan harian kritikal seperti ayam, telur dan minyak masak dilihat memberi kelegaan kepada rakyat yang terjejas akibat kecelaruan ekonomi. Ini juga membuktikan pengaruh kerajaan masih terus menjadi sandaran rakyat yang dahagakan jaminan kemakmuran negara bagi melangsungkan kehidupan mereka.

Bukan sekadar itu, kerajaan berusaha menunaikan janji untuk membantu mengurangkan masalah rakyat dengan menyasarkan mekanisme bantuan bersasar sebagai langkah jangka panjang bagi membendung pergelutan sosioekonomi.

Dari perspektif politik, kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap pindaan perlembagaan UMNO baru-baru ini juga memperlihatkan kepemimpinan Ismail Sabri tidak menyisihkan dirinya dengan kepentingan parti. Agenda UMNO untuk menyuburkan semangat demokratik dalam parti menyaksikan keteguhan kepimpinannya tidak dapat dinafikan atau diperkecilkan.

SUBUR

Sumbangannya dalam meneruskan perjuangan dan mengangkat maruah parti di mata masyarakat sepanjang mengetuai pimpinan kerajaan telah menjelmakan semangat demokrasi yang subur.

Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bipartisan juga masih dihormati dan dipatuhi parti-parti politik merupakan suatu platform penting yang mengukur tadbir urus kerajaan dan secara langsung menilai mekanisme semak dan imbang keberkesanan pentadbiran sedia ada.

Suara-suara ketidakpuasan hati dalam kalangan para pemimpin politik terhadap keberkesanan dasar-dasar kepimpinan Ismail Sabri, termasuklah suara-suara dalaman UMNO sendiri tidak sedikit pun menjejaskan pengaruh prestasi dan kewibawaan kepimpinannya.

Asakan dan cabaran daripada politik dalaman UMNO juga merupakan faktor cabaran yang mengundang kebijaksanaan Ismail Sabri untuk menggalas dua peranan utama, iaitu sebagai pemimpin kerajaan dan sebagai Naib Presiden parti yang sudah pasti memaksanya bersikap profesional dan adil apabila membuat keputusan terhadap pelbagai kes melibatkan dua institusi ini. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung tidak berselerak.

Kegawatan politik dan krisis perlembagaan yang tidak berkesudahan sudah pasti akan mencabar kematangan sistem amalan politik negara sejak merdeka yang boleh menjejaskan reputasi kepimpinan dalam kalangan parti politik untuk menampilkan penjelmaan imej yang positif dalam kalangan rakyat dan pengundi. Kematangan rakyat bertumpu kepada sejauh manakah parti berpengaruh membuat percaturan politik semasa. Rakyat menilai ketelusan, keikhlasan parti memperjuangkan nasib rakyat dan negara serta bagaimana sistem dan mekanisme perlembagaan dan politik dapat memenuhi keperluan rakyat dan negara.

Ismail Sabri mewujudkan budaya demokratik baharu yang menganjurkan lebih banyak penyertaan rakyat dalam dunia politik tanah air dan meningkatkan tuntutan untuk membangkitkan aspirasi negara mengikut acuan dan keperluan rakyat berbanding keperluan politik. Sokongan padu di semua peringkat yang bukan berasaskan kepada kepentingan politik semata-mata perlu diperteguhkan dan bukan bermaksud untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri sahaja tetapi menghormati persekitaran sosiopolitik yang mengundang kesejahteraan dan kemakmuran negara.

Begitu halnya dengan pembinaan negara bangsa, apalagi di saat-saat menghadapi kesulitan dan kegawatan ekonomi negara pada masa kini dan akan datang yang memerlukan usaha merebut kuasa dengan seruan PRU segera perlu diketepikan. – UTUSAN

DR. Syed Agil Alsagoff ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media & Industri Kreatif, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×