BULAN Kebangsaan 2022 seperti yang sebelumnya akan disambut pada dua tarikh, iaitu 31 Ogos untuk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 16 September. Pada kelazimannya, hanya satu tarikh diangkat untuk memperingati peristiwa bersejarah berhubung kewujudannya sebagai negara berdaulat.
Walaupun begitu, kita menyambutnya melalui dua perayaan yang bukan sahaja sama-sama penting, juga saling melengkapi. Hari Kebangsaan ialah tarikh kita memperingati kemerdekaan negara. Untuk Tanah Melayu atau Malaya, 31 Ogos 1957 ialah tarikhnya. Bagi Sabah, tarikhnya ialah 31 Ogos 1963 manakala bagi Sarawak ialah 22 Julai 1963.
Semua tarikh ini menandakan bermulanya pemerintahan kendiri di ketiga-tiga wilayah bekas jajahan British itu. Walaupun Sarawak meraikan tarikh 22 Julai sebagai hari bebasnya wilayah itu daripada belenggu penjajah, tarikh 31 Ogos ikut diraikan secara simbolik sebagai hari kemerdekaannya untuk tujuan kolektif bersama-sama dengan Tanah Melayu dan Sabah sebagai satu entiti kenegaraan. Hal begini sebenarnya ikut berlaku di beberapa tempat lain, antaranya Amerika Syarikat di mana negeri-negeri yang merdeka pada pelbagai tarikh berlainan ikut sama-sama meraikan tarikh 4 Julai atas nama kemerdekaan sebuah persekutuan 50 negeri berdaulat.
Hari Malaysia pula ialah tarikh untuk menghormati gabungan tiga wilayah, iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai Persekutuan Malaysia.
TEGUH
Sehubungan ini, Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada dua jenis kerajaan, iaitu Pusat atau Persekutuan dan wilayah atau negeri, memperoleh kuasa daripada Perlembagaan Persekutuan untuk urus tadbir federalismenya.
Kedua-dua tarikh keramat ini kini adalah cuti umum negara, iaitu disambut di seluruh pelosok tanah air. Sebelum 2010, Hari Malaysia tidak pun diraikan di seluruh negara melainkan hanya di Sabah dan Sarawak yang menyambutnya secara besar-besaran. Begitu juga dengan 31 Ogos sebagai hari kita memperingati kemerdekaan semua wilayah, ia didapati hanya disambut meriah di Tanah Melayu dan kurang di Sabah dan Sarawak.
Sebenarnya dua cuti umum ini harus disambut secara sama-sama meriah di Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bukan sahaja sebagai peristiwa bersejarah negara yang utama, juga selaku waktu penting untuk semua rakyat secara tegasnya menyatakan rasa cinta mereka kepada negara tercinta ini.
Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada kali ini ialah Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Tema ini antaranya perlu difahami oleh seluruh rakyat jelata dalam konteks krisis kesihatan yang masih kita hadapi, sebagai keperluan terus-terusan untuk melindungi diri daripada jangkitan penyakit Covid-19.
Ini antaranya hendaklah dilakukan dengan kita terus teguh mematuhi semua langkah berjaga-jaga yang diwujudkan dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi melawannya.
GAWAT
Selanjutnya bagi kelompok yang berhadapan dengan ancaman kesihatan, mereka dipohon untuk mendapat suntikan penggalak. Ia didapati sangat perlu untuk mengurangkan bahaya jangkitan selain kemudaratan bertarung nyawa apabila diserang penyakit itu. Semua ini penting bukan sahaja untuk perlindungan diri sendiri kerana kekebalan kesihatan yang semakin merosot saban hari biarpun setelah menerima suntikan sebelum ini. Ia juga penting untuk melindungi ahli keluarga sendiri khususnya dan masyarakat umum.
Tema ini juga perlu digarap dalam konteks ketidaktentuan ekonomi dunia yang mempunyai kesan langsung kepada negara kita.
Untuk ini, rakyat jelata hendaklah bersama-sama kerajaan bukan sahaja dari segi ketabahan, juga kecekalan dalam menghadapi setiap detik yang amat mencabar dalam situasi sangat gawat ini.
Ia hendaklah dilakukan dengan langkah berjimat cermat semasa berbelanja dalam keadaan kenaikan harga barang mencanak kini yang secara langsung sangat mempengaruhi kos sara hidup rakyat jelata.
Sehubungan ini, kita hendaklah ikut memahami dan menyokong dasar fiskal yang diambil oleh kerajaan khususnya berkenaan kutipan hasil dan perbelanjaan. Ia bertujuan mewujudkan keadaan ekonomi yang bukan sahaja lebih baik pada masa mencabar ini, juga mampan untuk jangka waktu panjang.
Untuk ini, tidak wajar sama sekali bagi sesiapa membantah, waima dengan menunjuk perasaan secara aman. Ini kerana kerajaan memang berikhtiar bersungguh-sungguh untuk mengurangkan beban yang ditanggung rakyat jelata ekoran kemelesetan ekonomi sejagat dan bukannya langsung lepas tangan semasa rakyat sedang teruk menderita.
Oleh itu, marilah bersekali dengan kerajaan, kita melalui Konsep Keluarga Malaysia pada Bulan Kebangsaan ini khususnya dan pada setiap masa selepas ini, teguh bersama mengharungi dugaan berganda ini, iaitu krisis kesihatan dan ekonomi dengan penuh ketabahan dan kecekalan.
NIKMAT
Untuk ini, pada Hari Kebangsaan, harus terus bertekad dengan kesyukuran bahawa kita kini boleh menentukan untung nasib setelah boleh memerintah sendiri. Nikmat ini hendaklah bukan sahaja disedari, ia juga harus diinsafi agar kedaulatan negara tetap utuh. Pada Hari Malaysia pula, kita hendaklah berpanjangan bulat hati memperkukuh kesatuan tiga wilayah ini agar Malaysia terus maju dan makmur selama-lamanya. Dengan ini, selain terus membina kerukunan yang kental, kita hendaklah selalu memastikan integrasi nasional ini terus mantap kerana ia pemangkin utama kepada pembangunan tanah air kita. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.










