KULIM catat PBTZ RM433.81 juta TK2021

KULIM bangkit daripada kerugian, catat PBTZ RM433.81 juta TK2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kulim (Malaysia) Berhad (KULIM) berjaya mencatat keputusan kewangan kukuh bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021 (TK2021) dengan merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat (PBTZ) sebanyak RM433.81 juta.

Keuntungan itu jaug mengatasi kerugian bernilai RM316.45 juta yang dicatatkan tempoh sama sebelumnya.

Menurut syarikat itu, perolehan melonjak kepada RM1.65 bilion (48.56 peratus) daripada RM1.11 bilion pada tahun sebelumnya, walaupun jumlah jualan dan hasil dari perniagaan perladangan dicatat lebih rendah.

“Hal ini berjaya dicapai berdasarkan harga jualan purata yang lebih tinggi bagi minyak sawit mentah (MSM) dan isirong sawit yang masing-masing meningkat sebanyak 60.66 peratus dan 77.64 peratus. Dengan kemerosotan nilai dan perbelanjaan peruntukan yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, Kumpulan telah berjaya memperkukuhkan kedudukan kewangan untuk
kembali mencatat keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa, KULIM tetap berupaya membawa hasil sehektar kepada 20.11 MT/hektar pada tahun kewangan 2021 berbanding 22.93 MT/hektar pada 2020.

Pencapaian itu adalah lebih tinggi berbanding hasil purata yang dicapai oleh industri sawit di Johor dan Semenanjung dengan masing-masing sebanyak 17.73 MT/hektar dan 16.24 MT/sehektar, katanya.

Mengulas pencapaian itu, Pengarah Urusan KULIM, Mohd. Faris Adli Shukery berkata, walaupun menghadapi kesukaran dari segi operasi ekoran tenaga kerja yang tidak mencukupi, namun dari segi kewangan Kumpulan berjaya meraih manfaat daripada
harga produk sawit yang melambung tinggi.

Kata beliau, ia telah menghasilkan keputusan kewangan antara yang terbaik pernah kami catat di sebalik pengeluaran dan hasil yang kurang optimum.

“Tentu sekali kami berasa gembira dengan keputusan kewangan yang baik ini. Namun, lebih berbesar hati untuk menyaksikan bagaimana Kumpulan kini kian berkembang dan menjadi syarikat yang tertumpu kepada pertanian, memiliki keupayaan digital yang kukuh dan beroperasi secara mampan. Inilah syarikat yang kami sasarkan akan terhasil dari program transformasi yang
dilaksanakan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, KULIM kini bersedia untuk memperluaskan operasi syarikat daripada perladangan kelapa sawit kepada perniagaan tani bersepadu.

Syarikat, katanya, akan mengukuhkan kedudukan dalam sektor pertengahan (midstream) dan hiliran (downstream) menerusi usahasama dan/atau pengambilalihan kilang penapisan serta loji pemerahan isirong sawit.

Syarikat juga akan memperluaskan perniagaan penternakan lembu dan kambing biri-biri, dan pada masa yang sama menjalin
usahasama dengan pengeluar produk tenusu.

“Objektif utama kami adalah untuk KULIM menjadi syarikat ulung yang dapat meningkatkan jaminan makanan bukan sahaja di peringkat negeri, malah untuk seluruh negara. Kami akan menyediakan pasaran sehenti untuk para peniaga kecil,
syarikat-syarikat besar dan juga syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan,” ujar Mohd. Faris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×