Ingenieur Gudang ambilalih unit komersial pada harga RM9.07 juta

Ingenieur Gudang ambilalih unit komersial pada harga RM9.07 juta

MELVIN LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ingenieur Gudang Berhad (dahulunya dikenali sebagai Dynaciate Group Bhd.) (IGB), mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, MGudang Properties Sdn. Bhd. (MPSB) telah memeterai Perjanjian Jual Beli Bersyarat dengan
Paradise Boulevard Sdn. Bhd. (PBSB) bagi cadangan pengambilalihan 149 unit kompleks runcit dan komersial itu pada harga RM9.07 juta.

Pelaburan hartanah dijangka menghasilkan pendapatan sewa jangka panjang bagi Kumpulan dengan memanfaatkan pertumbuhan e-dagang di dalam negara, jelas syarikat itu dalam kenyataan.

Katanya, kompleks runcit dan komersial tersebut dikenali sebagai Pandan Safari Lagoon Shopping Complex and Water Theme Park, yang didirikan di atas tanah pajakan terletak di Pandan Perdana, Bandar Ampang, Selangor.

“MPSB akan memperoleh keluasan lantai hartanah kasar berukuran kira-kira 435,002 kaki persegi daripada 489,489 kaki persegi yang terdiri daripada lot runcit, tempat letak kereta dan ruang atas bumbung,” katanya.

Berdasarkan makluman pemfailan di Bursa Malaysia, cadangan pengambilalihan itu akan dipenuhi melalui tunai melalui gabungan pinjaman, hasil daripada pelupusan hartanah dan/atau dana yang dijana secara dalaman, yang mana bahagiannya akan
ditentukan kemudian.

Menurut IGB, tanpa sebarang situasi luar jangkaan berlaku, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku pertama 2023.

Mengulas pengambilalihan itu, Pengarah Eksekutif IGB, Melvin Lim berkata, Kumpulan sentiasa mencari hartanah yang boleh menjana pendapatan berulang dalam jangka masa panjang.

“Oleh itu, pengambilalihan yang dicadangkan adalah berbangkit dan pelengkap kepada strategi Kumpulan untuk mengenal pasti, melabur dan membangunkan hartanah berpotensi untuk peningkatan modal dan pendapatan sewa,” katanya.

Tambah beliau, peningkatan nilai adalah penting untuk pelaburan hartanah Kumpulan dan hasilnya boleh dicapai dengan memanfaatkan pengetahuan untuk membangunkan dan menggunakan semula penggunaan bangunan sedia ada.

“Pengurusan kami berpendapat bahawa pertumbuhan berterusan kehadiran dalam talian dengan e-dagang oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana membawa kepada penggunaan perdagangan dalam talian ke luar talian (O2O) yang semakin meningkat dan keperluan untuk ruang storan untuk produk mereka,” kata beliau.

Lim menjelaskan, kompleks komersil itu akan digunakan semula sebagai gudang untuk menyediakan perkhidmatan penyimpanan yang bermanfaat, terutamanya untuk kebangkitan pemain industri pembuatan dan gaya hidup baharu yang memberi
tumpuan kepada e-dagang.

Sebagai tambahan kepada pengambilalihan terbaru ini, IGB pada 14 Jun, melalui anak syarikat milik penuhnya, Magnitude Resources Sdn. Bhd., mencadangkan untuk mengambil alih sebidang tanah perindustrian pegangan bebas dengan bangunan yang didirikan di Bentong, Pahang, dengan harga RM12.0 juta.

Tanah perindustrian pegangan bebas itu seluas lebih kurang 5.8 ekar, dengan bangunan pejabat dua tingkat ditambah dengan kilang satu tingkat, gudang berkembar dua tingkat dan satu tingkat, serta lekapan dan kelengkapan bangunan, termasuk
mesin, loji, bahan, dan peralatan.

Dalam nota berasingan, Kumpulan memaklumkan penukaran namanya daripada Dynaciate Group Berhad kepada Ingenieur Gudang Berhad pada 27 Julai lalu.

Perubahan nama itu menandakan visi simbolik baharu Kumpulan dan untuk lebih mencerminkan sifat perniagaan dan usaha masa hadapannya yang menumpukan pada pelaburan hartanah, jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×