RANG undang-undang (RUU) antilompat parti akhirnya diluluskan setelah bacaan kedua dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu dan dibahaskan selama dua hari (27 dan 28 Julai). Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menggulung perbahasan RUU itu yang kemudiannya diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.
Ia satu sokongan majoriti ahli Parlimen yang melebihi syarat sekurang-kurangnya 148 sokongan daripada ahli Parlimen bagi membolehkan meminda Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Ini bermakna akta antilompat parti yang diluluskan itu akan dimaktubkan sebagai sebahagian Perlembagaan Malaysia. RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti itu adalah berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti.
Majoriti besar yang diperoleh daripada ahli Dewan Rakyat mungkin disebabkan RUU itu menjadi salah satu syarat utama memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 13 September 2021 antara kerajaan yang dipimpin Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH). Justeru, setelah dibahaskan dengan panjang lebar maka majoriti ahli Dewan Rakyat, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang telah menyokong.
Oleh itu, tidak hairanlah semasa perbahasan, ada ahli Parlimen daripada PH yang menyifatkannya sebagai kemenangan untuk rakyat. Ia menjadi detik bersejarah buat Parlimen Malaysia dan politik tanah air kerana berjaya memperkenalkan akta antilompat parti bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan ahli-ahli Dewan Rakyat.
Sebelum ini, khususnya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), berlaku tindakan lompat parti beberapa ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sehingga mengucar-ngacirkan pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Ia juga menyebabkan berlakunya percaturan politik yang tidak berkesudahan dengan tawar menawar daripada pakatan parti politik tertentu untuk menarik sokongan bagi mendapatkan kedudukan majoriti di Parlimen sehingga Yang di-Pertuan Agong terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan kemelut politik yang berlaku kesan daripada amalan lompat parti.
Pastinya apabila pindaan akta itu dikuatkuasakan kelak, ia akan memberikan keyakinan tinggi kepada rakyat untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang. Rakyat (pengundi) akan lebih yakin calon-calon yang bakal dipilih mereka kelak tidak akan menjadi ‘katak-katak politik’ yang boleh membawa kepada ketidakstabilan negara atau mengkhianati rakyat yang telah memilihnya.
PRU15
Memang banyak faktor lain yang menentukan kestabilan politik negara, namun dengan kelulusan yang diperoleh Dewan Rakyat untuk mewujudkan akta antilompat parti maka ia akan menjadi faktor pencegah kepada wakil rakyat, khususnya ahli Parlimen daripada mencetuskan keadaan huru-hara politik kerana kegilaan sesetengah mereka yang gemar melompat parti.
Perkara inilah yang ditegaskan Ismail Sabri bahawa pindaan RUU berkenaan merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negara terus berdepan dengan krisis politik yang berpanjangan.
Dalam proses pilihan raya di negara ini, pengundi memilih calon-calon yang bertanding bukan sebab faktor individu semata-mata tetapi juga bergantung kepada parti yang mereka wakili.
Justeru, dengan wujudnya akta ini kelak maka ia dapat memastikan calon-calon yang telah dipilih itu akan berpegang kepada prinsip parti diwakilinya, sekali gus tidak mengkhianati mandat rakyat. Selain itu, ia dapat mencegah rasuah politik dengan tindakan parti-parti tertentu membeli wakil-wakil rakyat, khususnya yang bergelar ahli Parlimen.
Saya menjangkakan PRU15 akan diadakan dalam beberapa bulan akan datang, iaitu selepas September ini. Sebelum ini, Wan Junaidi pernah menjangkakan undang-undang tersebut akan dilaksanakan pada akhir September akan datang jika RUU itu diluluskan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini. Kita berharap dengan adanya akta ini kelak, ia akan memberikan mesej jelas kepada mereka yang bakal menjadi wakil rakyat dan mereka yang bakal dipilih sebagai ahli Dewan Rakyat supaya setia kepada parti dan setia kepada pengundi yang telah memberikan mandat kepada mereka. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










