Kebelakangan ini, isu Covid-19 dikusutkan lagi dengan pelbagai isu sampingan yang baharu. Antaranya, penggunaan vaksin atau suntikan ‘pelali’ yang sedang hangat diperkatakan di seluruh dunia khususnya negara-negara maju yang berkejar melaksanakannya dengan alasan untuk melindungi nyawa rakyat mereka yang antara teramai mati akibat pandemik tersebut. Amerika Syarikat (AS) dan Britain merupakan dua negara utama dalam hal ini memandangkan kegagalan mengekalkan kesejahteraan rakyat mereka dalam mematahkan serangan Covid-19. Umumnya, Kesatuan Eropah pun terjerumus dan sekali lagi menyaksikan ‘rebutan’ kali ini untuk mendapatkan vaksin berkenaan. Seperti mana pada awal serangan Covid-19, rebutannya adalah tentang pelitup muka oleh negara yang sama atas sebab serupa. Mereka dengan rakus menyisihkan negara-negara lain dalam saingan menyelamatkan negara masing-masing terlebih dahulu. AS di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump merupakan contoh paling hodoh dalam hal ini.
MENCONTOHI CUBA
Bukan secara kebetulan, pengilang serta pengedar vaksin terletak di dalam negara-negara yang terlibat. Syarikat-syarikat Pfizer, Modern, BionTech serta AstraZeneca adalah antara contoh ternama malah banyak lagi. Selainnya di negara-negara membangun seperti China, Brazil dan Cuba. Tidak sebanyak negara maju walaupun Cuba merupakan gergasi terhandal seantero dalam inovasi perubatan bioteknologi termasuk mencipta pelbagai vaksin terbaik. Ini amat menarik sekali kerana Cuba sejak begitu lama mengalami pemulauan sains dan teknologi oleh dunia Barat didalangi AS. Tujuannya untuk melumpuhkan kepakaran saintifik mereka. Namun, walaupun sudah berlanjutan lebih 50 tahun, Cuba masih bertahan malah maju kehadapan sehinggakan ada antara vaksin yang mereka hasilkan mendapat pasaran negara-negara yang ghairah melakukan pemulauan. Sebaliknya, ini adalah bukti keupayaan pendidikan saintifik mereka yang perlu dicontohi. Malaysia misalnya, terbuka kepada pelbagai kerjasama saintifik serta pembekalan teknologi dari mana sahaja, tetapi pencapaiannya tidak seberapa berbanding Cuba yang dikatakan kurang membangun dari segi ekonomi. Mengapa?
Saya amat maklum hal ini kerana sempat melawat ke Cuba semasa menerajui Universiti Sains Malaysia (USM) pada awal 2000. Antaranya untuk mengenali peluang kerjasama dalam bidang bioteknologi perubatan baharu diperkenalkan pada ketika itu. Antara yang amat menarik adalah penyelidikan vaksin mencegah radang otak manusia ataupun meningitis yang dipelopori penyelidik Cuba.
ISU VAKSIN HALAL
Lebih menarik lagi, Cuba berjaya mencipta vaksin termaju dan lebih-lebih lagi halal sifatnya. Amnya, vaksin yang ada dan digunakan ramai termasuk umat Islam adalah hasil dunia Barat melalui pengilang yang besar seperti apa yang berlaku hari. Keseluruhan hasil produknya bersumberkan haiwan seperti lembu (bovin) atau khinzir (porsin) yang jelas tidak halal sama sekali. Ia bukan perkara atau isu baharu dalam sektor kesihatan atau perubatan. Umum tahu yang dalam soal melibatkan nyawa atau hidup-mati, Islam mempunyai hikmahnya tersendiri. Hatta, ramai jemaah ke tanah suci menggunakan vaksin yang ada tanpa banyak soal-jawab. Dan insyaallah amalan umrah atau haji yang dilaku mengikut rukun dan tertib yang betul akan diterima jua mengikut fatwanya.
Memandangkan hal demikian, para penyelidik Cuba pernah menerangkan kepada saya, itu antara sebab mengapa mereka amat berusaha menghasilkan vaksin meningitis bersumberkan sayur-sayuran (bukan haiwan), sekali gus halal tanpa syak lagi. Ini amat mengejutkan delegasi USM ketika itu kerana Cuba turut merujuk kepada konsep rahmat terhadap seluruh alam sebagai asas tindakan saintifik mereka. Apatah lagi apabila diambil kira yang Cuba di bawah naungan Presiden Fidel Castro pada masa itu memegang kuat ideologi komunis, sekutu rapat negara komunis (Soviet) Rusia.
PENGAJARAN COVID-19
Bertolak daripada pengalaman ini, apa yang dapat diinsafi – pertama tidak semua vaksin itu halal, malah hampir tiada yang halal sebagai keutamaannya. Ini setimpal dengan keberadaan industri berkenaan di negara bukan Islam amnya. Kedua, yang diutamakan adalah kesan perubatan yang disasarkan kepada penyakit tertentu, Covid-19 sebagai contoh. Ataupun radang otak dalam contoh yang kaitkan di atas. Sekali gus bertujuan memelihara nyawa selaras tuntutan maqasid syariah. Ketiga, menentukan kesan sampingan seminimum mungkin kalaupun ada. Ini juga berhasrat memelihara nyawa kerana kesan sampingan boleh membunuh dan mengancam nyawa. Keempat, soal kesesuaian penggunaan, simpanan, pengangkutan yang boleh mengekang keberkesanan vaksin berkenaan. Bahkan mampu memusnahkan khasiat yang ada. Kelima, faktor harga, jumlah pembekalan, kemampuan biayaan umat sejagat dan bukan segelintir sahaja sehingga menjadi rebutan bagaimana yang telah dibincangkan di atas. Jika tidak, ia bakal mengundang kemelut lain dan oleh itu, kesan kepada keturunan atau generasi akan datang pasti buruk dan tidak selaras dengan maqasid syariah.
BERWASPADA
Walaupun ada banyak lagi isu berkaitan, namun inilah lima yang paling utama untuk diperhatikan umum. Pendek kata, selagi semua maklumat perinci tidak dikongsi dan diuar-uarkan sepenuhnya, kita wajar berwaspada kerana ia boleh menyalahi maqasid syariah apabila nyawa dan keturunan turut terancam. Setelah lima hal ini dapat diselesaikan dengan baik, maka baharulah perkara lain yang mengkhusus seperti hukum-hakam dapat dihadamkan dengan lebih baik. Natijahnya, kalau penyakit seperti radang otak boleh dirawat dengan mengambil kira isu halal-haram pada masa dan ketika sesuai, mengapa tidak wabak koronavirus yang lebih dahsyat serta berleluasa dan telah mengorbankan jutaan nyawa tidak berdosa? Di sinilah tersirat hikmah untuk mendapatkan perlindungan sejagat. Yakni nyawa wajar diselamatkan dahulu mengatasi segala-gala yang lain.
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).










