Menanti pembangunan wakaf air - Utusan Malaysia

Menanti pembangunan wakaf air

PEMBANGUNAN wakaf air dilihat mampu menangani masalah bekalan air yang sering berlaku di Selangor dan Kelantan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saya pernah bertanya kepada seorang ulama terkenal mengenai bentuk wakaf (mauquf) yang amat diperlukan rakyat di negara ini. Jawabnya mudah dan ringkas – apa sahaja yang diperlukan rakyat. Buat masa sekarang, apa yang diperlukan rakyat ialah keperluan asas seperti air, elektrik dan makanan selain rumah tempat berlindung daripada terik matahari dan tempias hujan. Justeru, keperluan asas ini perlu diadakan kerajaan sebaik mungkin.

Soalan seterusnya, bagaimanakah keperluan asas ini boleh disediakan dengan cara yang terbaik? Dengan bayaran elektrik dan bekalan air bersih yang cukup, rakyat dapat menjalankan kehidupan dengan sempurna. Namun demikian, penyediaan kemudahan-kemudahan asas perlu dibayar dengan kadar sewajarnya – tidak terlalu tinggi yang memberatkan mereka. Tidak juga terlalu rendah (atau secara percuma) yang menyebabkan belanjawan kerajaan dibebankan dan boleh mengganggu perkhidmatan lain.

Rakyat bersyukur dengan pengumuman Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, untuk mengusahakan wakaf air di negara kita. Memandangkan masalah bekalan air agak meruncing terutama di Selangor dan Kelantan yang sering mengalami catuan, pengumuman berkenaan tepat pada masanya. Dalam masa beberapa bulan pengumuman berkenaan dibuat, kerajaan sudah dapat mengumpulkan kira-kira RM7 juta modal untuk memulakan wakaf air di seluruh negara.

Sebelum ini, rakyat hanya mendengar wakaf air yang dijalankan di luar negara seperti di Kemboja dan Vietnam. Pengurusan wakaf-wakaf berkenaan juga dijalankan agensi yang kebanyakannya dari Malaysia. Peliknya, di negara kita sendiri terdengar sayup-sayup mengenai wakaf air ini. Justeru, rakyat ternanti-nanti pembangunan wakaf air dan impak besar yang akan mereka nikmati tidak lama lagi.

Lantaran itu, dijangkakan dalam sedikit masa lagi, jumlah kutipan wakaf air akan terus meningkat. Unjuran ini dibuat berdasarkan promosi dan sokongan kuat rakyat dalam usaha memartabatkan wakaf demi memajukan sosioekonomi dan membasmi masalah dan keperluan hidup mereka. Kita sudah ada wakaf keagamaan, wakaf kesihatan, wakaf pendidikan, wakaf peruncitan, wakaf hartanah, wakaf peladangan, wakaf buku, wakaf al-Quran dan sebagainya.

Apabila berwakaf dengan memenuhi syarat-syaratnya, pewakif akan menerima pahala berganda-ganda yang mengalir selagi manfaat wakaf berterusan sekalipun jasad pewakif sudah hancur lebur dimamah bumi. Begitulah besarnya hikmah dan keistimewaan wakaf. Dikatakan pahala berwakaf digandakan sehingga 70,000 kali manakala ada yang mengatakan sehingga 700,000 kali ganda.

Sejarah wakaf air begitu menguja. Kisah telaga (ar-rummah) yang diwakafkan Saidina Uthman Affan RA pada 1,400 tahun dahulu di Madinah tetap menjadi teladan hingga ke hari ini. Telaga ini dibeli daripada seorang Yahudi dengan harga kira-kira 20,000 dirham. Saidina Uthman, seorang yang kaya dan pemurah telah mendengar Rasullullah SAW bersabda betapa istimewa dan besar pahala orang yang memberi sedekah jariah daripada telaga berkenaan. Tanpa berlengah lagi, Saidina Uthman membeli telaga berkenaan untuk disedekah jariah air minuman kepada kaum Muslimin. Pada masa itu, sebaik sahaja berhijrah, keperluan mendapatkan air yang bersih untuk kegunaan harian amat diperlukan. Maka, air percuma yang diwakafkan Saidina Uthman amat berguna untuk pelbagai kegunaan harian umat Islam ketika itu.

LIMA BINTANG

Apabila Saidina Uthman wafat, telaga tersebut yang dijadikan wakaf diurus pihak kerajaan Uthmaniyyah dan manfaat atau hasil kurma yang diterima dibahagikan kepada orang miskin. Sebahagian lagi disimpan atas nama akaun bank Saidina Uthman. Setelah 1,400 tahun meninggal dunia, manfaat atau hasil daripada telaga dan 1,550 batang pokok kurma di sekitarnya berjaya dikumpul dan dibina Hotel Renaissance bertaraf lima bintang dengan harga 50 juta Riyal di pinggir Kota Madinah berhampiran Masjid Nabawi. Pembinaan hotel diuruskan Kementerian Wakaf Arab Saudi. Nama Saidina Uthman tetap sebagai pemegang akaun bank bagi tanah dan hotel itu.

Kisah wakaf Saidina Uthman di atas menunjukkan satu contoh teladan amat baik bagi memajukan wakaf air di negara kita. Selain meringankan beban kewangan kerajaan, syarikat-syarikat air ini akan lebih berkeupayaan untuk memastikan kualiti air dan juga bekalan air bersih mencukupi dan tidak terputus. Selain pewakif menerima aliran pahala daripada pewakafan tadi, mereka juga membantu mengurangkan bil air yang perlu dibayar. Seterusnya, rakyat dapat berjimat bagi memenuhi keperluan lain.

Dengan cara memperkenal dan memajukan wakaf air, terbukti Islam mengambil perhatian berat terhadap tuntutan memenuhi keperluan asas rakyat iaitu penyediaan bekalan air bersih. Manfaat wakaf air boleh digunakan oleh semua orang sama ada yang beragama Islam atau bukan Islam. Selain manusia, manfaat wakaf boleh diberikan kepada binatang seperti kucing, burung dan sebagainya. Dengan cara ini, Islam melalui wakaf memberi perhatian serius terhadap ekosistem wakaf yang merangkumi sistem ekonomi, sosial dan keagamaan manusia sejagat.

PROFESOR DR ISMAIL OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (Pertama) dan pensyarah bidang hartanah dan wakaf di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×