Bagi pengikut tegar kumpulan rock terkenal tanah air, XPDC, pastinya mengenali dan dapat membezakan mereka terdiri daripada dua kumpulan.
XPDC Kita Peng Yu sebagai pencetusnya dan XPDC Militia, setiap kedua-dua kumpulan ini punyai keistimewaan dalam pembawaan karya seni masing-masing.
Terkenal dengan gelaran kumpulan ‘raja funfair’, pemain bass XPDC, Zua berkata, ahli kumpulannya tidak pernah sekalipun menafikan kedatangan XPDC Militia.
Sebaliknya beliau percaya dengan rezeki sudah tertulis buat kedua-dua kumpulan lantaran setiap daripadanya telah pun mempunyai peminat tersendiri.
“Peminat tegar pasti tahu XPDC ada dua. XPDC Kita Peng Yu tidak menafikan mereka.
“Walaupun pencetus untuk kumpulan ini, kami tidak menafikan mereka juga rakan sekumpulan. Jangan menafikan rakan-rakan kita yang lain. Dah tua-tua jangan banyak masalah. Masing-masing ada rezeki,” katanya.
Walaupun pembawaan karya mereka berbeza, namun mereka tidak pernah anak tirikan XPDC Militia.
Malahan Zua mengakui hubungan mereka bagaikan sebuah keluarga walau anggotanya silih berganti sejak ditubuhkan.
“Peminat tegar sudah faham yang kumpulan ini mempunyai dua,” tuturnya.
Penonton tercengang
Buat julung kalinya, tiga pemuzik rock handalan tempatan dari tiga generasi disatukan atas pentas menerusi konsert YOLO Live Sessions: 3 Generasi di Zepp Kuala Lumpur 27 Ogos depan.
Selain XPDC, ia turut membariskan nama besar lain seperti Spider dan penyanyi Noh Salleh.
Dalam reaksi berhubung konsert itu, Zua menzahirkan perasaan teruja dapat beraksi bersama band lain di pentas yang sama.
“XPDC akan memberikan persembahan terbaik buat peminat yang merindui kehangatan kumpulan kami,” katanya.
Ujar Zua, realitinya sebelum penularan virus Covid-19 lagi kumpulan itu aktif dengan konsert, tetapi disebabkan pandemik, mereka jammed duduk di rumah.
“Sewaktu endemik ini kami mula aktif. Syukur Alhamdulillah. Kami dihormati dan dapat bersama-sama mereka. Pada konsert nanti, kami tidak mahu bercakap sepatah pun.
“Kami akan buat persembahkan hingga penonton tercengang. Kami juga akan tampilkan kelainan dari segi susunan muzik,” katanya.
XPDC Kita Peng Yu dianggotai penyanyi Syed Ismail Syed Ibrahim atau Mael, selaku pemain bass, Azuar Md Tasia atau Zua (pemain gitar), Jeffrizul Alias atau Jeff dan (pemain dram), Suhaimi Abu Bakar atau Amy.
XPDC Militia pula dianggotai penyanyi Ali, Izo selaku pemain gitar, Eddie sebagai pemain bass dan Lola (pemain drum).










