Aktiviti domestik sokong pemulihan negara – Gabenor BNM

Aktiviti domestik sokong pemulihan negara – Gabenor BNM

EKONOMI negara kembali rancak selepas kerajaan membenarkan pembukaan semua sektor dan sempadan, selain menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada pada landasan pemulihan yang kukuh disokong oleh aktiviti domestik dan permintaan luar yang positif, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ekonomi dijangka berkembang dengan stabil pada 2022 dan 2023 walaupun terdapat cabaran daripada peningkatan tekanan kos, konflik ketente­raan Russia-Ukraine dan langkah-langkah pemben­dungan ketat China terhadap Covid-19.

“Malaysia mendapat manfaat daripada permintaan kukuh untuk eksport negara terutamanya barangan elektrik dan elektronik serta produk berasaskan komoditi dan produk eksport yang pelbagai dan pasaran akan terus menyokong pertumbuhan eksport negara.

“Kami melihat peningkatan yang kukuh dalam permintaan domestik terutamanya dalam perbelanjaan pengguna di mana jualan runcit, transaksi kad debit dan import barangan pengguna telah melebihi tahap pra-pandemik,” katanya berucap pada majlis Persidangan Antarabangsa Jenayah dan Pembiayaan Keganasan Ke-12 (IFCTF 2022) di sini, semalam.

Jelas beliau, pasaran pekerjaan yang semakin kukuh te­lah memberi manfaat kepada ekonomi negara dan 26,000 pekerjaan baharu telah diwujudkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, sama seperti tahap pra-pandemik.

Pada masa yang sama, ujarnya, kekosongan pekerjaan dan gaji juga meningkat, yang akan mengukuhkan lagi permintaan dalam negara di masa depan.

Mengulas kenaikan harga, Nor Shamsiah menegaskan, keadaan semasa adalah fenomena global dan Malaysia terjejas akibat kesan tidak langsung daripada harga komoditi global yang tinggi kerana ia merupakan pemacu utama kenaikan kos input pengeluar.

“Perkembangan inflasi di Malaysia tahun ini mencerminkan kesan daripada beberapa kenaikan kos dan permintaan dalam negeri yang semakin kukuh.

“Akibatnya, walaupun inflasi utama diunjurkan kekal rendah, stabil dan berjulat antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus tahun ini, inflasi teras meningkat kepada purata 2.2 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding hanya 0.7 peratus pada 2021.

“Apa yang penting ialah dengan bertindak secara awal, kami akan berada dalam kedudukan untuk melakukan pelarasan kepada penetapan dasar monetari Malaysia secara beransur-ansur dan itu juga untuk memulihkan dan menyokong pertumbuhan yang mampan dalam jangka sederhana dan panjang. Masa, kadar dan tahap kenaikan kadar faedah akan dilakukan berdasarkan penilaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×