CYBERJAYA: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mendapatkan sejumlah dana bagi menggalakkan syarikat-syarikat digital mengutamakan pelaksanaan program yang berfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, pelaksanaan ESG adalah agenda penting kepada negara dan MDEC sangat komited menggalakkan adaptasi amalan kemampanan dalam ekosistem ekonomi digital.
“Buat masa ini kita tiada dana khusus untuk ESG tetapi kami sedang bekerja dengan MOF bagi mendapatkan pengkhususan sesetengah dana bagi tujuan dan ke arah ESG.
“Kita tidak mahu memberi harapan (mengenai dana) kepada SME (perusahaan kecil dan sederhana) kerana sekarang ini fokus yang lebih penting dan utama adalah menyediakan kesedaran dan juga akses kepada kit alatan dan fasiliti sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara MDEC dan Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mahadhir turut meminta syarikat-syarikat digital di negara ini untuk mempunyai ketetapan minda (mindset) dan lebih memahami mengenai ESG sebelum menerima sebarang dana.
“Jadi dari segi dana ia akan menyumbang ke arah itu apabila tiba masa yang sesuai (tetapi) sekarang ini kita minta syarikat untuk pasang niat dahulu dan faham tentang ESG, kena ada mindset,” ujarnya.
Pada 7 Julai lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan komited untuk mengutamakan program dan projek pembangunan berfokuskan ESG seperti yang digariskan dalam penyata pra-belanjawan 2023.
Sementara itu, mengulas mengenai MoU yang dimeterai, Mahadhir berkata, kerjasama bertujuan meningkatkan kesedaran, membina kapasiti dan meningkatkan kemampanan perniagaan dalam ekonomi digital berdasarkan lima tumpuan.
Katanya, tumpuan tersebut termasuk membangunkan Panduan Tindakan Iklim dan Kit Alatan untuk perniagaan ekonomi digital dalam membantu syarikat mengambil tindakan dan menilai pelepasan karbon dan menggalakkan perniagaan ekonomi digital untuk mengadaptasi inisiatif yang mampu menangani perubahan iklim seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui atau kecekapan tenaga.
“Kemampanan bukanlah perkara baharu malah ia merupakan matlamat penting yang berkembang seiring dengan pembangunan ekonomi digital.
“Perniagaan mungkin berdepan kesukaran untuk mengintegrasikan matlamat pembangunan mampan (SDG) justeru, MoU merupakan sebahagian daripada usaha untuk menangani cabaran dengan membantu menyediakan sumber dan bahan tindakan yang boleh diadaptasi oleh perniagaan untuk mencapai matlamat SDG,” ujarnya.
Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar pula berkata, ekonomi digital akan menjadi nadi kepada pembangunan global pada masa hadapan dan ia memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan pembangunan yang mampan.
“Menerusi kerjasama dengan MDEC, kami berhasrat untuk menjadikan ekosistem ekonomi digital Malaysia sebagai pemangkin kepada pembinaan negara yang mampan dan sebagai penyumbang global kepada pencapaian matlamat SDG,” katanya. – UTUSAN











