KOTA KINABALU – Sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki antara 11 individu yang diberkas kerana dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri di pasar raya sekitar daerah ini sejak Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, tiga suspek yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki,11, dan pasangan suami isteri berusia 40-an itu ditangkap di kediaman mereka di Penempatan Telipok dekat sini pada Sabtu lalu.
Menurut Chandra, selain keluarga terbabit polis turut menahan enam suspek di dua buah rumah berasingan kawasan yang sama antara pukul 2 hingga 3 pagi.
“Susulan tangkapan itu pihak polis turut menahan dua lelaki warganegara Pakistan di sebuah premis kedai di Tuaran kerana disyaki membeli barang hasil curi sindiket berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket terancang ini menyasarkan pasar raya yang mempunyai operasi kawalan keselamatan yang lemah. Lazimnya, mereka mencuri alat kosmetik, penjagaan diri dan pakaian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.
Tambah Chandra, sindiket yang bergerak menggunakan van akan bertindak agresif menyerang pengawal keselamatan menggunakan senjata tajam sekiranya rakan mereka ditangkap di dalam premis pasar raya.
“Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia antara 11 hingga 48 tahun itu dikatakan aktif mencuri di pasar raya sekitar kawasan Putera Jaya dan Luyang sejak Disember tahun lalu,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










