KUALA TERENGGANU – Seramai 116 penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau harga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menjalankan pemantauan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina bermula Sabtu lalu sehinga 21 Februari ini di pasar-pasar awam, pasar tani dan pasar raya seluruh negeri.
Pengarah KPDNKK Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, pasukan tersebut diletakkan di lokasi-lokasi tumpuan pengguna bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan selain tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan tidak munasabah sepanjang musim perayaan.
“Bermula Sabtu lalu sehingga hari ini, kita telah memeriksa sebanyak 639 premis di peringkat runcit, pemborong serta pasar basah.
“Dalam tempoh tersebut, seramai tujuh peniaga telah dikenakan kompaun sebanyak RM800 kerana gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan terkawal mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 manakala dua lagi peniaga dikenakan tindakan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 selepas didapati menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjalankan Operasi Bersepadu Bersama 11 Agensi Penguatkuasa Terengganu Menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2018 di Pasar Borong Gong Pauh di sini hari ini.










