KUALA LUMPUR 14 Feb. – UMNO bukan parti bersifat elitis dan tidak mengamalkan prinsip kerajaan mengetahui segala-galanya seperti yang diamalkan pada zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaliknya mengamalkan politik kontemporari.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, sebelum ini, UMNO dilihat sebagai parti bersifat elitis, komunalis, konservatif, ultra-nasionalis dan autokratik yang dibelenggu oleh amalan puak dan politik wang.
Maka, katanya, ramai penganalisis politik yang meramalkan UMNO dan Barisan Nasional bakal kehilangan kuasa seperti mana parti LDP di Jepun, Kuomintang di Taiwan, Golkar di Indonesia dan Kongres di India jika meneruskan prinsip elitis berkenaan.
“Tetapi, itu UMNO yang dahulu. UMNO yang dicipta oleh Dr. Mahathir mengikut pemikiran dan gaya kepimpinannya. Legasi Mahathir terlalu besar dalam UMNO sehingga terbitnya istilah Mahathirisme yang cukup diingati dengan gaya pemerintahan “government knows all” yang tidak lagi relevan dengan politik kontemporari,” katanya dalam blog https://sskeruak.blogspot.my di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










