PASUKAN penyelamat bergegas ke sebuah bangunan setinggi 12 tingkat yang runtuh untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit ekoran gempa bumi berukuran magnitud 6.4 di bandar pelabuhan Hualien, Taiwan baru-baru ini.
Dianggarkan seramai 150 orang hilang, 245 orang cedera manakala empat terbunuh apabila gempa bumi itu memusnahkan empat bangunan termasuk sebuah hotel.
Rakaman video menunjukkan beberapa bangun rosak teruk dengan kedudukannya hampir menyembah bumi.
Malah, besi-besi konkrit kelihatan terpacak keluar dan kaca bertaburan di atas jalan raya.
Agensi Bomba Kebangsaan berkata, kekuatan gegaran itu telah membelah jalan raya dan menjejaskan bekalan elektrik serta air kepada ribuan isi rumah.
“Gempa bumi yang berlaku di sekitar 22 kilometer di timur laut Hualien itu merupakan kawasan kediaman bagi 100,000 orang.
“Dijangkakan 173 orang masih terperangkap di dalam bangunan Yunmen Cuiti iaitu pangsapuri 12 tingkat, namun angka sebenar masih belum dapat dipastikan,” jelas sumber itu.
Antara mereka yang tercedera berasal dari Tanah Besar China, Republik Czech, Jepun, Singapura dan Korea Selatan.
Luar biasa
Dalam kejadian itu, seorang pekerja Hotel Marshal meninggal dunia selepas dihempap tingkap di bawah bangunan itu manakala seorang lagi meninggal dunia kerana terperangkap di dalam kediamannya.
Seorang pekerja penyelenggaraan yang berjaya diselamatkan setelah terperangkap di aras bawah tanah hotel itu berkata, kekuatan gempa bumi adalah sangat luar biasa.
Sementara itu, seorang pengusaha restoran, Lin Ching-wen menceritakan detik-detik cemas kejadian tersebut.
“Kami membuka restoran seperti biasa dan pelanggan pula sedang menjamu selera tetapi tiba-tiba terasa gegaran yang sangat kuat.
“Saya menarik tangan isteri dan anak serta cuba menyelamatkan beberapa orang yang tercedera,” katanya.
Bangunan-bangunan lain kelihatan beralih daripada kedudukan asal dan pihak bomba menyelamatkan mangsa menggunakan tangga, tali serta kren.
Selepas berlaku gegaran susulan, penduduk diarahkan berlindung di beberapa tempat termasuk stadium besbol yang baru dibina manakala katil serta makanan panas disediakan untuk mangsa.
Jurucakap Kabinet, Hsu Kuo-yung berkata, jalan yang menghubungkan kereta api dan landasan lapangan terbang Hualien tidak terjejas akibat gempa itu.
“Kami memberikan keutamaan kepada warga Hualien untuk kembali ke rumah dan bertemu orang yang tersayang.
Mekanisme
“Presiden Taiwan telah meminta Kabinet dan kementerian berkaitan agar melancarkan segera mekanisme bencana serta melaksanakan gerak kerja itu secepat mungkin,” katanya.
Menurut sumber kerajaan, gempa susulan berukuran 5.0 magnitud boleh meranapkan pulau itu dalam tempoh dua minggu akan datang.
Sehubungan itu, gegaran kecil sering mencemaskan penduduk pada setiap hari.
Taiwan terletak antara dua plat tektonik yang menyebabkan pulau itu terdedah kepada ancaman gempa bumi.
Pulau yang menjadi destinasi pelancongan itu mempunyai pemerintahan sendiri tetapi China masih menganggap ia sebahagian daripada wilayah negara tersebut.
Pada tahun 1999, sejarah hitam tercatat di Taiwan apabila dilanda gempa bumi pada skala 7.6 magnitud.
Bencana tragik itu telah mengorbankan 2,000 orang manakala pada tahun 2016, Taiwan sekali lagi dilanda gempa bumi sehingga meragut nyawa 100 orang.











