MARAN – Keserasian pemain menjadi resipi kejayaan skuad Felda United memulakan saingan awal Liga Premier dengan cemerlang termasuk menewaskan Pulau Pinang 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka di sini, semalam.
Ketua Jurulatih Felda United, B. Satiananthan berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi dan semangat anak buahnya meskipun terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi untuk terus mengekalkan rentak permainan pada musim ini.
“Perancangan untuk mencari gol awal membuahkan hasil apabila gandingan pemain import, Gilberto Valdenesio Fortunato dan Wan Zack Haikal Wan Nor berjaya menguji benteng pertahanan lawan sejak awal permainan.
“Walaupun kita baru memasuki perlawanan ketiga musim ini, saya sudah nampak keserasian antara pemain lama dan baharu, ia sangat penting bagi memastikan Felda United terus memperoleh keputusan baik seperti malam ini,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Beliau berkata, semua pemain menunjukkan corak permainan yang baik dan berjaya mengawal permainan babak pertama yang berkesudahan dengan skuad The Fighters memperoleh dua gol sebelum gol ketiga dijaringkan semasa perlawanan berbaki lima minit. – Bernama










