IZINKAN saya kali ini ulas mengenai seorang tokoh UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah. Atau mesra dengan panggilan Ku Li. Pertengahan bulan ini, beliau mengejutkan pemerhati politik terutama partinya apabila buat pertama kali selepas 33 tahun duduk dalam sidang akhbar bersama seterunya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Soalnya, mampukah kerjasama yang dijalin Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu dengan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh tersebut untuk meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti? Tidak ada skandal, masih disegani dan setanding dengan Dr. Mahathir, persoalannya mampukah Ku Li untuk urusan lebih berat lagi – membeli jiwa orang UMNO khususnya ahli Parlimen parti itu?
Begini…tiga daripada empat anak saya lahir pada 1997, 1998 dan tahun 2000. Ketiga-tiganya sama seperti rakan-rakan mereka yang lain tidak mengenali Ku Li. Apatah lagi bila datang Julai tahun depan ini, kira-kira empat hingga lima juta pengundi tiba-tiba boleh berdaftar secara automatik – dengan usia masing-masing baru menginjak 18, 19 dan 20 tahun. Sudah tentu mereka terbiasa dengan nama-nama seperti beberapa instafamous, artis-artis muda dan ikon tertentu. Kalau orang politik, barangkalilah yang lekat di kepala mereka nama Marina Ibrahim, KJ, Syed Saddiq, Nurul Izzah atau Rafizi.
Tapi bagaimana halnya pula dengan Dr. Mahathir? Isu sama (kalau andaian saya orang muda tak kenal dengan Ku Li) juga terjadi kepada Dr. Mahathir tempoh hari waktu PRU-14. Kerana keberkesanan taktik kempen dinamik Pakatan Harapan (PH), ditambah laporan media tertentu yang terlalu memburuk-burukkan negarawan itu, akhirnya memakan diri, sekali gus menguntungkan Dr. Mahathir, telah membawa kemenangan bersejarah PH pada 9 Mei 2018.
Justeru, faktor usia bukan ukuran dalam kejayaan politik. Ku Li, ahli Dewan Rakyat kedua paling senior – berusia 12 tahun lebih muda berbanding Dr. Mahathir dan 10 tahun lebih tua berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim. Adakah beliau masih menjadi sandaran tepat untuk memulihkan reputasi UMNO?
SIAPA KU LI?
Untuk anak muda, saya coretkan sedikit kisah Ku Li. Ku Li lebih dikenali sebagai pengasas Petronas. Beliau menggunapakai kaedah Pertamina – syarikat petroleum Indonesia yang akhirnya dimaktubkan sebagai Akta Petroleum Negara pada sidang Parlimen 1974.
Ku Li dikatakan berjaya mengambil resipi Pertamina hasil hubungan rapat dengan Presiden Pertamina, General Ibnu Sotowo yang jauh berusia daripada Ku Li. Ibnu Sotowo begitu kagum dengan kebijaksanaan Ku Li biarpun dengan usia sebegitu muda tetapi memiliki cita-cita besar sedangkan Malaysia hanya sekadar memiliki ‘setitik’ hasil minyak berbanding Indonesia. Hari ini jika dibandingkan dengan Indonesia, Petronas cukup tersohor dalam pencairan minyak di lebih 50 negara.
Ku Li, Menteri Kewangan paling lama dari 5 Mac 1976 hingga Julai 1984 ini juga merupakan rakyat Malaysia pertama menemui Perdana Menteri China dan arkitek terhadap merintisnya Persahabatan Malaysia-China 1974 yang membawa kejatuhan Parti Komunis Malaya.
Semasa Ku Li memimpin Bank Bumiputera, beliau menjemput Wong Am Pui dan Datuk Khoo Kay Peng melatih kakitangan Melayu agar mahir dalam pengurusan bank. Pada waktu itu sukar untuk mencari anak Melayu yang tahu selok-belok menguruskan sebuah bank yang pastinya memerlukan masa. Ternyata selepas itu, anak Melayu bukan sahaja mampu menguruskan bank malah sudah mampu memiliki bank, antaranya Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Rashid Hussin dan lain-lain.
Dikatakan tapak bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) asalnya milik Ku Li. Tetapi demi untuk melihat bangunan UMNO tersergam utuh di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur, Ku Li sanggup serahkan pada UMNO. Dikhabarkan pernah menjadi pilihan Allahyarham Tun Hussein Onn untuk menjadi Perdana Menteri berbanding Dr. Mahathir, Ku Li menempuh laluan politik yang berliku sejak Dr. Mahathir mengetuai kerajaan pada 1981. Cukupkan untuk anak muda mengenali siapa Ku Li?
Waima apa pun, sesiapa yang mengetuai UMNO hari ini, cabarannya bukan mudah – amat getir yang memerlukan pendekatan di luar kotak, keberanian dan kreativiti yang tinggi. Apatah lagi, Melayu dan Bumiputera sekarang, baik di Felda, Felcra dan pedalaman bukannya lagi Melayu yang berfikir dan berwacana tentang isu mitos. Tetapi sebahagian besarnya kini membabitkan isu rasionalisme peringkat tinggi.
Barangkali persaingan UMNO dan parti lawannya hari ini boleh digarap menerusi kisah perlumbaan antara ‘arnab dan kura-kura’. Semua yang tahu cerita ini pasti teringat, sekalipun arnab boleh berlari pantas, akhirnya kura-kura perlahan yang mencapai kemenangan kerana arnab leka dan tertidur.
Persoalannya, (andainya kura-kura diumpamakan UMNO yang kini tertinggal dalam penguasaan mandat rakyat), bolehkah kura-kura ini menang dalam senario arnab yang tidak leka dan tidak tidur seperti hakikatnya hari ini? Rumusannya, saya kongsikan di sini, parti-parti Melayu atau gabungannya, bahkan UMNO sendiri masih ada harapan untuk menarik mandat rakyat dalam PRU-15 nanti.
SYARAT UNTUK MENANG
UMNO contohnya menerusi pencapaian kerusi Parlimennya yang tertinggi (38) dalam kalangan semua parti politik di tanah air ini, boleh menang dengan dua syarat. Pertama, kura-kura tidak sekali-kali menanggalkan kulitnya berapa berat sekalipun kulit memperlahankan perjalanannya – Melayu, Islam dan institusi raja.
Cuma UMNO wajib berpegang teguh kepada petua: “Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit”, kerana tanpa kulitnya, kura-kura bukan lagi kura-kura; malahan cicak bukan dan tikus pun bukan! Juga Melayu yang lupa lalu membuang “warna kulit” jati dirinya, akhirnya akan kehilangan segala-galanya, iaitu Melayu bukan dan Muslim pun dia bukan!
Syarat kedua juga sangat penting dipenuhi, iaitu kemenangan bangsa dan umat dapat dicapai hanya jika kita ikut fitrah hayat kura-kura dan bukan arnab. Perhatikan, rata-rata arnab hidup hanya 10 hingga 15 tahun, berbanding dengan kura-kura, iaitu 150 hingga melebihi 200 tahun!
Dan syarat ketiga yang sama mustahaknya juga, bergaullah dengan orang muda. Bahasa rakyat harus cekap difahami. Harus diingatkan, pengundi di saluran 4, 5 dan 6 lah yang bergerak agresif memenuhkan pusat-pusat saluran mengundi. Mereka terdidik dengan isu-isu semasa, bertenaga dan sanggup berbaris panjang biarpun pusat mengundi sudah ditutup 5 petang.
Ada dimomokkan, orang Melayu kononnya menerpa dan melompat ke hadapan tanpa menyusun langkah. Dan dikatakan barangkali tepat dikatakan: “Koyak baju kerana lenggang; pesuk songkok kerana lonjak’’. Namun, majoriti lebih bersetuju bahawa kerosakan yang mengakibatkan Barisan Nasional tumbang tempoh hari adalah akibat badan yang buruk pinta.
Rangkap lama mengingatkan kita:
Jangan disalai ciku kedondong
Salailah ikan atas para
Jangan salahkan ibu mengandung
Salahkan badan yang buruk pinta.
Pencapaian umur, 83 (Ku Li), waima Dr. Mahathir (95) sekalipun bak kata Inggeris-Amerika is no big deal. Jika badan sihat dan minda masih aktif, tiada apa-apa yang boleh dianggap sebagai pengaral, walaupun dalam istilah keusiaan sudah mencapai warga emas.










