DIANGGARKAN 60 peratus daripada 1.5 juta peluang pekerjaan yang akan diwujudkan di negara ini dalam tempoh terdekat, dijangka memerlukan kelayakan dalam bidang teknikal dan vokasional.
Pihak kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM1 bilion dalam Belanjawan 2021 bertujuan untuk meningkatkan program kemahiran dan latihan semula. Ini dengan jelas menunjukkan para lulusan program pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bakal menguasai pasaran kerjaya masa hadapan di negara ini.
Langkah pihak kerajaan yang memberi penekanan serta mengambil inisiatif untuk memperkasakan dan menjenamakan semula sistem pendidikan TVET adalah satu pendekatan yang amat wajar dan signifikan.
Hakikatnya, kita perlu mengorak langkah ke hadapan untuk melihat hala tuju landskap dan pembangunan negara dalam pelbagai sektor sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 atau 30 tahun yang akan datang. Hal ini penting kerana bukan mudah untuk mencapai dan mengekalkan status negara maju berpendapatan tinggi mengikut acuan kita dengan menggunakan kepakaran anak tempatan.
Dalam konteks ini, inisiatif untuk melatih anak muda tempatan untuk mahir dalam pelbagai bidang teknikal dan vokasional adalah sangat mustahak.
PINJAMAN
Kita juga perlu mengambil peluang dan membuat perancangan yang rapi supaya secara perlahan-lahan kita dapat mengurangkan pergantungan negara dan pasaran buruh tempatan terhadap tenaga kerja asing yang terpaksa dibawa masuk bagi memenuhi keperluan para majikan.
Kerajaan dilihat sudah membuka langkah untuk melahirkan lebih ramai lulusan TVET dalam kalangan belia di negara ini. Misalnya, pelbagai inisiatif dan peruntukan disediakan dalam Belanjawan 2021 bagi merancakkan sektor TVET di negara kita.
Antaranya, pengumuman peruntukan RM300 juta melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bagi menyediakan pinjaman kepada pelatih program TVET di institusi latihan kemahiran awam dan swasta. Di samping itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Sistem Latihan Dual Nasional Plus dengan elaun bulanan dinaikkan daripada RM625 kepada RM1,000 membabitkan peruntukan sebanyak RM60 juta yang bakal memberikan manfaat kepada 10,000 peserta.
Maka apa yang penting sekarang ialah fasa pelaksanaan. Institut latihan kemahiran awam dan swasta yang ada perlu merebut segala kemudahan dan inisiatif yang kerajaan sediakan untuk melatih dan melahirkan lulusan TVET yang berdaya tahan dan berkualiti tinggi seperti diharapkan majikan.
PRAKTIKAL
Dalam konteks ini, para penyedia latihan perlu memberikan perhatian yang serius terhadap kurikulum atau silibus pengajian agar ia relevan dengan keperluan semasa dan juga masa hadapan.
Misalnya, di samping teori, para pelatih juga perlu banyak didedahkan kepada aspek praktikal dan pengalaman latihan di industri. Hal ini penting kerana kerja-kerja teknikal banyak memerlukan pengalaman amali supaya seseorang individu itu boleh mengaplikasikan teori yang dipelajari secara lebih efektif dan efisien.
Di samping itu, kita juga berharap pihak industri dapat menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang setimpal dan menarik kepada lepasan TVET. Ia akan menjadi sumber motivasi penting kepada semua pekerja untuk meningkatkan kemahiran masing-masing, termasuk akan meningkatkan minat golongan belia untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utama.
Dalam hal ini kita menyokong penuh saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang mahukan kerajaan menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi atau setara dengan permintaan bagi graduan TVET.
Pada masa sama, kita juga perlu berikhtiar untuk menarik lebih ramai golongan belia untuk mengikuti program TVET sebagai kerjaya pilihan masa hadapan mereka. Hal ini penting, kerana kita perlu akui masih ramai dalam kalangan anggota masyarakat yang beranggapan TVET adalah pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik.
KELAS KEDUA
Walaupun pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk penjenamaan semula program TVET namun persepsi negatif seperti itu masih membelenggu sebahagian daripada golongan belia dan ibu bapa di negara ini.
Tiada guna kita menyediakan banyak peluang latihan kemahiran andai golongan belia masih beranggapan ia bidang kelas kedua atau termasuk dalam kategori sektor pekerjaan 3D iaitu kotor, sukar dan bahaya. Ibu bapa perlu menyedarkan anak-anak betapa TVET akan menjamin masa depan mereka seterusnya menggalakkan anak mereka mengikuti program TVET.
Jadi besarlah harapan kita agar ibu bapa akan memberikan dorongan kepada anak-anak mereka untuk menyertai program TVET sebagai antara pilihan utama demi masa hadapan yang lebih terjamin.
Semoga dengan adanya pelbagai inisiatif dan strategi yang berterusan dari pihak kerajaan serta sokongan padu dari pihak industri untuk memperkasa TVET, ianya akan menjadi bidang pilihan utama golongan belia di negara kita. Tuntasnya, belia kita perlu sedar betapa pasaran kerjaya masa hadapan akan berpaksikan kepada tahap dan bentuk kemahiran tinggi yang kita miliki.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










