PUTRAJAYA – Sebanyak 500 program disenaraikan dalam kalendar acara Jabatan Pembangunan Wanita bersempena Tahun Memperkasa Wanita 2018, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Yatimah Sarjiman.
“Kebanyakan program adalah di peringkat komuniti bagi membolehkan ia dimanfaatkan oleh wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Latihan Kepimpinan Wanita Mendepani Revolusi Industri 4.0 di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.
Antara program berkenaan adalah bengkel dan bazar wanita di seluruh negara, katanya.
Yatimah berkata program-program bersempena Tahun Memperkasa Wanita 2018 sedang giat dilaksanakan di seluruh negara dengan di Kedah sahaja, terdapat 56 program dijalankan pada bulan lepas (Januari).
Mengenai program latihan kepimpinan hari ini, Yatimah berkata program tiga hari itu bertujuan melengkapkan bakal pemimpin wanita dengan elemen teknologi yang menjadi keutamaan golongan muda hari ini dalam memilih pemimpin.
Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – Bernama










