BUKIT MERTAJAM – Pembantu rumah warga Indonesia yang mati dipercayai akibat didera majikannya di Taman Kota Permai 2, di sini semalam, telah bekerja dengan keluarga itu sejak 2014 menerusi sebuah agensi pekerja asing di Pulau Pinang.
Wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang Neni Kurniati berkata, Adelina Lisio, 28, tidak pernah membuat aduan kepada pihak konsulat berhubung majikannya sepanjang bekerja di situ dan pembantu rumah berkenaan sebelum ini pernah bekerja dengan majikan lain.
“Kami memandang serius kejadian dera yang dialami mangsa dan berharap pembelaan sewajarnya ke atas Adelina. Pihak konsulat juga akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan pihak berkuasa di Malaysia bagi membantu kes itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini hari ini.
Adelina yang mengalami kecederaan parah termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada pukul 4.45 petang semalam dan mayatnya dihantar ke HSJ untuk bedah siasat.
Wanita itu ditemui kira-kira 8 malam Sabtu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Lim dan ekoran itu polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya berusia 36 dan 39 tahun yang merupakan majikan mangsa bagi membantu siasatan. – Bernama









