SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi sumbangan peribadi kepada seorang jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berusia 52 tahun yang diserang strok awal Disember tahun lalu.
Sumbangan wang tunai itu diserahkan oleh Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles kepada Hamzah Md. Som di rumahnya dekat Taman Kobena di Senawang dekat sini hari ini.
Menurut Akmar Hisham, sumbangan peribadi Perdana Menteri itu disampaikan melalui Yayasan Sahabat Nasional (YSN) bagi membantu meringankan beban Hamzah dan keluarganya.
“Beliau (Hamzah) yang mula berkhidmat dengan Bernama pada 2006 masih berehat dan sedang pulih daripada serangan strok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan itu hari ini.
Turut hadir Naib Ketua UMNO Bahagian Rasah, Datuk Karim Mustafa; Pengarah Urusan YSN, Farah Haizum Manap dan isteri Hamzah, Zaida Sabtu, 49.
Dalam pada itu, Hamzah mengucapkan terima kasih dan berasa terharu diatas keperihatinan Perdana Menteri terhadap nasib yang menimpa dirinya.
Beliau memaklumkan pernah membuat liputan program Perdana Menteri termasuk lawatan kerja Najib ke luar negara seperti Kemboja dan Afrika Selatan.
“Keadaan saya beransur pulih dan sedang menjalani fisioterapi dua kali seminggu,” katanya. – K! ONLINE










