71 maut pesawat terhempas - Utusan Malaysia

71 maut pesawat terhempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW 11 Feb. – Sebuah pesawat penumpang Rusia membawa 71 orang termasuk enam anak kapal terhempas di pinggir Moscow selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Domo­dedovo, hari ini.

Media tempatan melaporkan, pesawat jenis Antonov An-148 milik syarikat penerbangan Saratov Airlines itu dalam perjalanan ke Orsk, sebuah bandar di Urals sebelum terhempas di daerah Ramensky dekat sini.

Agensi berita Rusia melaporkan, pesawat itu membawa 65 orang penumpang dan enam anak kapal.

Menurut saksi di Kampung Argunovo, mereka melihat sebuah pesawat terbakar sebelum terhempas.

Seorang sumber daripada perkhidmatan kecemasan Rusia memberitahu Interfax, kesemua penumpang dan anak kapal dilaporkan terbunuh.

Pesawat buatan Rusia itu baru berusia tujuh tahun dan dibeli Saratov Airlines daripada sebuah syarikat penerbangan tahun lalu.

Media Rusia melaporkan, pa­sukan kecemasan tidak dapat memasuki lokasi nahas melalui jalan raya dan terpaksa berjalan kaki.

Seorang sumber lapangan terbang berkata, pesawat itu hilang daripada radar dua minit selepas berlepas.

Sementara itu, agensi berita RT yang memetik kenyataan Menteri Pengangkutan Rusia, Maksim Sokolov berkata, jawatankuasa siasatan Rusia telah membuka kertas siasatan mengenai kejadian tersebut.

Pasukan mencari yang tiba di lokasi nahas setakat ini menemukan dua mayat. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×