Jet penumpang Rusia terhempas - Utusan Malaysia

Jet penumpang Rusia terhempas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Sebuah pesawat penumpang membawa 71 orang terhempas di pinggir Moscow semalam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di ibu kota Rusia berkenaan, lapor media tempatan.

Pesawat jenis Antonov An-148 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tempatan, Saratov Airlines itu terbang menuju ke Orsk, sebuah bandar di wilayah Ural dan terhempas dekat Kampung Argunovo di daerah Ramensky, kira-kira 80 kilometer ke tenggara Moscow.

Agensi-agensi berita Rusia melaporkan bahawa kapal terbang itu membawa seramai 65 penumpang dan enam kru.

Beberapa agensi berita berkata, saksi-saksi di Kampung Argunovo melihat sebuah pesawat terbakar jatuh dari langit.

Sumber jabatan kecemasan Rusia memberitahu agensi berita Interfax bahawa 71 orang yang berada di dalam pesawat itu dikhuatiri terbunuh dan mereka tiada peluang terselamat.

Menurut agensi berita sama, bangkai pesawat itu berkecai di sebuah kawasan luas di sekitar lokasi nahas.

Pesawat buatan Rusia itu berusia tujuh tahun dan dibeli oleh Saratov Airlines daripada sebuah syarikat penerbangan Rusia lain setahun lalu.
Media Rusia melaporkan bahawa perkhidmatan kecemasan tidak dapat sampai ke lokasi nahas menggunakan jalan raya dan petugas-petugas kecemasan terpaksa berjalan kaki ke tempat kejadian.

Satu sumber di Lapangan Terbang Domodedovo memberitahu agensi berita tempatan bahawa kapal terbang itu hilang dari radar dua minit selepas berlepas.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan berkata, beberapa faktor sedang dipertimbangkan berkaitan nahas itu termasuk keadaan cuaca dan kesilapan manusia.

Pihak pendakwa raya juga membuka kertas siasatan terhadap Saratov Airlines susulan kemalangan tersebut. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×