Suspek kes bunuh Nur Aina Nabihah didakwa di mahkamah esok - Utusan Malaysia

Suspek kes bunuh Nur Aina Nabihah didakwa di mahkamah esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELOK KEMANG 11 Feb. – Sebanyak dua suspek yang disyaki mendera kanak-kanak perempuan, Nur Aina Nabihah Muhammad Abdullah, 9, yang meninggal dunia pada 31 Januari lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, kedua-dua suspek itu dijangka menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh di Mahkamah Port Dickson.

“Ya, benar. Mereka akan dituduh di mahkamah pagi esok,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau menambah, turut menghadapi pertuduhan di bawah seksyen yang sama ialah suspek kes samun dan bunuh seorang juruteknologi pergigian berusia 28 tahun di Port Dickson dekat sini pada 22 Januari lalu.

Nur Aina Nabihah meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada 31 Januari lalu selepas tidak sedarkan diri di kediaman keluarga itu di Taman Vista Jaya dekat Lukut, di sini.

Berdasarkan keputusan bedah siasat oleh hospital tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah pada organ dalaman seperti buah pinggang putus, hati koyak, lebam dalaman pada usus serta tulang rusuk kiri dan kanan patah dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

Berikutan itu, polis telah menahan bapa kandung dan ibu tiri mangsa pada 1 Februari lalu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, mayat juruteknologi pergigian itu, Mahusin Abd. Rahim ditemukan di kediamannya di tingkat empat Kuarters Kakitangan Klinik Kesihatan Lukut pada 22 Januari lalu dan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat hentakan benda keras pada kepala.

Ekoran itu, seorang penganggur lelaki berusia 19 tahun ditahan di Johor pada 30 Januari lalu kerana disyaki terlibat dalam kes pembunuhan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×