MARANG 11 Feb. – Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) cawangan daerah ini, salah sebuah pertubuhan yang paling aktif di negeri ini akan mempunyai bangunan baharu berkonsepkan binaan kaca yang menelan belanja kira-kira RM2 juta.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang ketika merasmikan Mesyuarat Agung LKPI Marang dan Persatuan Wanita Sedar Negeri Terengganu (Surianita) Marang di Kampung Binjai Rendah, dekat sini semalam.
A. Latiff menjelaskan pembinaan bangunan dua tingkat itu dijadual mula dilaksanakan bulan depan dan dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.
Menurutnya, projek tersebut bakal didirikan bersebelahan dengan premis LKPI sedia ada berdekatan pasar Binjai Rendah yang kelak akan memberikan lebih banyak kemudahan menggerakkan pelbagai aktiviti untuk manfaat golongan wanita setempat.
“Buat masa ini kita sedang tunggu proses teknikal daripada UPEN (Unit Perancangan Ekonomi Negeri) dan sekiranya urusan lancar, dijangka pembinaan akan bermula tidak lama lagi,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Yang turut hadir, Ketua Wanita UMNO Bahagian Marang merangkap Pengerusi LKPI Marang, Toh Puan Zaitun Mat Amin; Timbalan Pengerusinya, Norlia Harun; Pengerusi Surianita Marang, Toh Puan Rosnani Ngah dan Bendari LKPI Terengganu, Fatimah Abdullah. – UTUSAN ONLINE










