Aguero legenda City - Utusan Malaysia

Aguero legenda City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER 11 Feb. – Pep Guardiola memuji Sergio Aguero sebagai ‘legenda tulin’ Manchester City selepas membantu pasukannya meledak empat gol untuk menewaskan Leicester City dengan keputusan 5-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.

Satu gol City lagi dijaringkan oleh Raheem Sterling manakala gol tunggal Leicester diraih menerusi Jamie Vardy.

Jaringan kelas tersendiri Aguero itu membolehkan dia kini sudah meledak 14 gol selepas tujuh perlawanan di laman sendiri manakala skuad bimbingan Guardiola sudah selesa berada di kedudukan pendahulu dengan kelebihan 16 mata.

“Dia adalah legenda tulin buat kelab ini.

“Dalam separuh masa kedua dia telah meledak empat gol.

“Bagi saya Sergio mempunyai bakat istimewa ketika berada di dalam kotak malah jaringan ketiga dan keempatnya amat menakjubkan,” kata Guardiola.

Dalam perlawanan tersebut City terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi Sterling seawal minit ketiga sebelum Vardy menyamakan kedudukan pada minit ke-24.

Bermula babak kedua menyaksikan penguasaan City sukar digugat oleh pasukan lawan sekali gus membolehkan Aguero meledak empat gol pada minit ke-48, ke-53, ke-77 dan ke-90.

Kini Aguero telah mengumpul 28 gol menerusi pelbagai perlawanan pada musim ini dan lebih lapan daripada Sterling.

Sementara itu, Guardiola berkata, kemenangan tersebut adalah sesuatu yang paling hebat pernah dilakukan oleh pasukannya dalam masa sama turut bangga dengan prestasi dipamerkan oleh City sejak dia mengambil alih kelab itu.

“Nasihat saya kepada pemain adalah jangan terlalu memikirkan berapa banyak perlawanan yang tinggal sebaliknya hadapi satu demi satu dengan sebaiknya.

“Setiap kali kami ketinggalan mata pada musim ini pasti perlawanan selepas itu kami akan meraih kemenangan.

“Paling penting kini adalah memastikan konsistensi sentiasa ada dalam pasukan ini dalam usaha memburu gelaran,” kata Guardiola. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×