KUALA TERENGGANU 11 Feb. – Telah lebih 100 kali dia menderma darah tetapi rutin aktiviti itu tidak pernah jemu dilakukan setiap tahun sejak 36 tahun lalu, dan akan diteruskannya lagi.
Ibrahim Abdul Ghani, 56, seorang pesara tentera yang memiliki darah jenis `O’ tampil berbuat demkian apabila mengetahui program menderma darah diadakan di mana-mana tanpa mengejar apa-apa.
“Sekurang-kurangnya dua kali setiap tahun saya akan menderma darah di mana-mana program kempen yang diadakan. Saya mula berbuat demkian ketika berusia 20 tahun. Hasrat saya cuma untuk membantu mereka yang sangat memerlukan,” katanya.
Anggota Rela itu ditemui semasa turut serta dalam Majlis Kempen Derma Darah Demi Terengganu anjuran bersama Hotel Primula, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APPM) Terengganu, Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) dan Mc Donald’s di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah APPM negeri, Left. Kol. (PA) Che Adam A.Rahman; Presiden Kawat Wan Abdul Rahman Hayat dan Pegawai Perhubungan Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Shamsul Yusuf.
Sementara itu Che Adam berkata, melalui program ini, seramai 70 anggota dan pegawai terlibat selain turutt disertai penderma dari Angkatan Tentera, Rela, wakil media dan rakan hotel di negeri ini.
Katanya, APPM menetapkan KPI bagi program ini adalah untuk menderma darah tiga kali setahun.
“Selain dengan pelbagai agensi kita turut berkloborasi bersama Tabung Darah HSNZ bagi membantu tabung darah hospital negeri mendapat bekalan darah yang mencukupi terutama bagi menampung keperluan mendesak terutama pada musim perayaan,’’ katanya. – UTUSAN ONLINE










