KUALA LUMPUR 11 Feb. – Dalam usaha mencegah dan menurunkan kadar jenayah di sekitar ibu kota, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur merancang mengadakan kursus keselamatan, rondaan dan undang-undang bersama pertubuhan penduduk setempat di enam daerah di sini pada masa akan datang.
Usaha itu disampaikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim susulan program ‘Townhall Discussions’ Kontinjen Kuala Lumpur mendapat sambutan menggalakkan yang dihadiri kira-kira 400 orang dari pelbagai pertubuhan penduduk, bukan kerajaan, mahasiswa dan anggota polis.
Mazlan berkata, program yang bertemakan Pencegahan Jenayah Tanggungjawab Bersama yang julung kali diadakan bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dalam usaha memerangi jenayah serta mengeratkan hubungan antara polis dan pertubuhan penduduk sekitar ibu kota.
“Bermula hari ini saya mengarahkan setiap daerah di IPK seperti daerah Sentul, Wangsa Maju, Putrajaya, Cheras, Brickfields dan Dang Wangi dapat mengadakan kursus berkenaan dalam usaha memberi pengetahuan kepada penduduk dan mewujudkan kawasan kediaman yang lebih selamat,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
Video oleh BASIR ABU BAKAR










