ALOR SETAR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan kes 30 ahli Geng Pak Su termasuk ketuanya, Johari Ariffin yang dituduh menjadi kumpulan jenayah terancang di daerah Kubang Pasu dekat sini sejak tiga tahun lalu.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mohd. Izham Ali membuat ketetapan tersebut pada prosiding pengurusan kes di hadapan kesemua tertuduh.
Pada prosiding pengurusan kes itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izhanudin Alias menyerahkan dokumen berkaitan dan memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam masing-masing.
Mereka dituduh secara berperingkat atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Pak Su di daerah Kubang Pasu sejak tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini sejak 26 September 2017 diikuti pada 9 Oktober dan 2 November lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun.
Selain itu, mereka tidak dibenarkan ikat jamin kerana kes disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – K! ONLINE








