Mourinho lega tiga pemain utama pulih - Utusan Malaysia

Mourinho lega tiga pemain utama pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER 10 Feb. – Tiga pemain utama Manchester United disahkan sudah pulih daripada kecederaan sekali gus melegakan Jose Mou­rinho yang sedang berusaha me­ngukuhkan kedudukan pasukannya di anak tangga kedua Liga Perdana Inggeris selain terus menghambat pendahulu Manchester City.

Tiga pemain yang dimaksudkan adalah penyerang veteran Zlatan Ibrahimovic dan dua pemain pertahanan Eric Bailly dan Daley Blind. Bagaimanapun Marouane Fellaini masih terpaksa menunggu sebulan lagi sebelum boleh diturunkan.

Ibrahimovic yang kali terakhir beraksi penghujung Disember lalu baru pulih daripada kecedera­an lutut yang berulang dan sudah pun turun berlatih sejak dua hari lalu. Ini disahkan Mourinho yang bagaimanapun tidak mahu terburu-buru menurunkannya menentang Newcastle esok.

“Zlatan sudah mula berlatih bersama pasukan utama. Sudah dua hari, dan dia sedang me­ningkatkan permainannya,” kata Mourinho yang semakin hampir mendapatkan barisan pemain terbaik untuk United.

United menewaskan Newca­stle 4-1 di Old Trafford pada November lalu dengan Ibramovich diturunkan buat kali pertama ketika itu selepas berehat panjang sejak April 2017 kerana menjalani pembedahan ligamen lutut.

Jika diturunkan esok bermakna perlawanan itu sekali lagi menjadi yang pertama untuk Ibramovich sekembali daripada berehat selama lebih sebulan.

Sementara itu, Bailly dan Blind pula dijangka kembali daripada kecederaan buku lali penghujung bulan ini untuk mengukuhkan benteng United yang rapuh sehingga mudah dibolosi ketika tewas kepada Tottenham Hotspur bulan lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×