LABUAN 10 Feb. – Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan sedang berunding untuk menambah operator penerbangan laluan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Labuan.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, perkhidmatan itu ketika ini amat terhad apabila hanya syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), Mas Wing dan AirAsia sahaja menawarkan penerbangan ke destinasi berkenaan.
“Itu pun dengan jadual penerbangan yang terhad setiap hari. Dengan penambahan operator penerbangan, dapat memberi pilihan tambahan kepada rakyat untuk meneruskan aktiviti perhubungan perniagaan, urusan kerajaan, pendidikan dan pelancongan di Labuan.
“Rundingan ini diharapkan agar ditambah penerbangan lain seperti Malindo Air untuk laluan pergi balik ke dua lokasi ini,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan Labuan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tengku Adnan berkata, kementeriannya masih menunggu keputusan akhir Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi mendapatkan pengecualian polisi dibuat syarikat penerbangan yang tidak membenarkan makanan laut sejuk beku segar sebagai barang daftar masuk kargo.
Katanya, ia bagi meningkatkan penjualan produk laut sejuk beku di kawasan berkenaan.
“Saya berharap, pihak MAB dapat memberi pertimbangan segera berhubung perkara ini dan mencari penyelesaian terbaik membantu komuniti nelayan tempatan untuk memasarkan hasil tangkapan mereka sebagai produk untuk dibawa pulang oleh pelancong di Labuan,” ujarnya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira sejam bersama kira-kira 5,000 warga Labuan bagi meraikan majlis kenduri berkenaan sebagai acara kemuncak Sambutan Hari Wilayah Persekutuan Labuan 2018.








